PETALING JAYA – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan apabila berjaya sahkan kejuaraan Liga Super lebih awal selepas menewaskan Brunei DPMM dengan keputusan 3-0 di Stadium Hassanal Bolkiah di Bandar Seri Begawan, sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, skuad Harimau Selatan yang masih segar dengan kejayaan lolos ke pusingan suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) masih mengekalkan pemain utama seperti Bergson da Silva, Ager Aketxe dan Nacho Mendez dalam kesebelasan terbaik.
Harimau Selatan bermula garang apabila mendahului saingan hasil sepakan percuma jarak jauh yang dilakukan oleh Ager Aketxe pada minit ke-33.
Bersambung pada babak kedua, JDT yang dikendalikan oleh Xisco Munoz menerima sedikit tekanan daripada tuan rumah yang berjaya memberikan tentangan sengit.
Namun, pasukan pelawat menarik nafas lega apabila meraih dua gol pantas pada penghujung saingan hasil penyudah Oscar Arribas pada minit ke-77 dan Marcos Guilherme (m-83).
Nasib DPMM bertambah malang selepas pemain pertahanan, Fairuz Zakaria dilayangkan kad merah pada penghujung perlawanan dengan keputusan 3-0 kekal hingga wisel penamat.
Kemenangan itu menyaksikan JDT terus gah mendominasi arena bola sepak tanah air selepas bergelar juara Liga Super buat kali ke-12 berturut-turut sejak edisi 2014. – KOSMO! ONLINE














