fbpx
Keadaan kemalangan di KM137.4 Lebuh Raya Utara Selatan, arah Utara di Perai, semalam.

Kemalangan empat kenderaan: Pemandu treler positif syabu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Pemandu treler yang terlibat kemalangan dengan tiga buah kereta sehingga mengakibatkan tiga mangsa parah di Kilometer 137.4 Lebuh Raya Utara Selatan arah Utara di Perai di sini, semalam disahkan positif dadah jenis Methamphetamine atau syabu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, ini berdasarkan hasil ujian air kencing yang dijalankan ke atas suspek lelaki tempatan berusia 28 tahun.

Menurutnya, suspek terbabit telah direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 18 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Siasatan awal berhubung kemalangan berlaku mendapati treler membawa muatan barang dan tiga buah kereta tersebut sedang bergerak dari arah Juru menghala ke Seberang Jaya.

“Apabila tiba di lokasi, treler yang dipandu suspek terbabit dipercayai hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang sebuah kereta Honda BR-V yang berada di lorong kanan sebelum mengheret kenderaan tersebut ke hadapan sehingga melanggar dua lagi kenderaan di hadapan.

“Akibat daripada pelanggaran tersebut, sebuah kenderaan jenis Proton X50 telah terbalik dan masuk ke dalam longkang dibahagian kanan jalan,” katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu katanya lagi, kemalangan tersebut menyebabkan beberapa mangsa mengalami kecederaan termasuk seorang kanak-kanak.

“Tiga mangsa yang menaiki kereta Honda BR-V mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala, dada dan kaki manakala lima mangsa lain mengalami kecederaan ringan.

“Kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk mendapatkan rawatan lanjut,” ujarnya.

Justeru, beliau menggesa kepada orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian berlaku diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor S. Saravanan ditalian 016-452 5105 atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Polis menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah kerana ia boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan yang lain.

Semalam, Kosmo! Online melaporkan kemalangan membabitkan sebuah treler dan tiga kenderaan yang berlaku kira-kira pukul 3.15 petang itu telah menyebabkan kesesakan lalu lintas sepanjang kira-kira sembilan kilometer.

Bagi pengguna dari George Town pula, mereka terpaksa menempuh kesesakan hampir tiga jam ke Perai, berbanding tempoh biasa hanyalah kira-kira 20 minit hingga setengah jam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata kejadian itu melibatkan seramai 12 mangsa termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI