fbpx
Mohd. Yusri ketika berucap pada Program Konvoi Iftar Sanjung Budi Frontliner hari ini.

Op Selamat 26 Hari Raya Aidilfitri: 6,132 anggota URB, MPV diatur gerak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seramai 6,132 anggota unit rondaan bermotosikal (URB) dan unit kereta peronda (MPV) ditugaskan sepanjang Op Selamat 26 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan berlangsung dari 19 hingga 24 Mac ini.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, operasi tersebut turut melibatkan 3,375 aset kenderaan terdiri daripada MPV dan URB.

Menurutnya, sebanyak 1,643 unit MPV dengan kekuatan 4,332 anggota akan digerakkan di seluruh kontinjen bagi menjalankan rondaan serta pemantauan kawasan berisiko jenayah.

“Selain itu, sebanyak 1,732 unit motosikal URB bersama 1,800 anggota turut digerakkan bagi meningkatkan rondaan dan pemantauan keselamatan.

“Sebanyak 22 kenderaan MPV turut dipinjamkan kepada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) untuk pemantauan kawasan blackspot kemalangan serta lokasi yang sering mengalami kesesakan jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Konvoi Iftar Sanjung Budi Frontliner di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Yusri menasihatkan orang ramai yang ingin pulang ke kampung sempena Aidilfitri supaya memaklumkan ketiadaan mereka kepada balai polis berhampiran.

Katanya, orang ramai juga digalakkan menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi menyalurkan maklumat kepada pihak polis.

“Aplikasi ini memudahkan orang ramai memaklumkan ketiadaan mereka di rumah serta menyalurkan maklumat kepada pihak polis.

“Maklumat itu membantu pihak polis menjalankan rondaan dan pemantauan secara berkala khususnya di kawasan hotspot jenayah dan lokasi yang kerap berlaku kesesakan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI