PETALING JAYA – Atlet Muay Thai sensasi negara, Johan Ghazali atau lebih dikenali sebagai Jojo sekali lagi mencuri perhatian netizen apabila dilihat meluangkan masa bersama peminat cilik yang menunggunya semasa satu sesi berbuka puasa.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman Instagram, Jojo memuat naik video memaparkan sekumpulan kanak-kanak setia menunggu di luar premis ketika dia sedang menjamu selera.
Tidak menunggu lama, Jojo dilihat keluar dengan membawa manisan untuk diberikan kepada mereka yang sabar menunggu peluang bertemu dengannya.
Atlet muda itu turut meluangkan masa bergambar bersama peminat selain menurunkan tandatangan sebagai tanda penghargaan kepada mereka.
Menjengah ke ruangan komen, pelbagai reaksi diberikan oleh netizen terhadap hantaran tersebut.
“Bagus Jojo, santuni anak-anak kecil, tak sombong,” kata @Cyten_hajar.
“Semoga tuhan merahmati kedua ibu bapa Jojo sebab mengajar Jojo menjadi lelaki yang baik,” komen @Bidadaribahagia.
“Kanak-kanak itu jadikan Jojo sebagai role model. Semoga Jojo tak berhenti galakkan mereka untuk belajar dan bersukan supaya seimbang dunia akhirat,” ujar @Aishahzaid.- KOSMO! ONLINE.














