fbpx
KEDAI ubat Tuck Onn Thong dibuka sejak awal tahun 1940-an dan panggung wayang gambar Popular yang dibangunkan sekitar tahun 1960-an menjadi antara tarikan unik di Lenggong.

Warisan dan nostalgia di pekan Lenggong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MESKIPUN tampak sederhana dan tenang, pekan Lenggong, Perak sebenarnya sarat dengan cerita masa lalu yang membentuk identiti masyarakatnya.

Setiap sudut pekan ini menyimpan memori yang mencerminkan perjalanan sejarah dan kehidupan komuniti setempat sejak dahulu lagi.

Inisiatif Jejak Warisan membuka peluang kepada pelawat untuk menelusuri sejarah tersebut sambil mengenali kisah komuniti yang menghidupkan pekan ini.

Empat lokasi terpilih termasuk Wakaf Che Teh Fatimah, panggung wayang gambar Popular, kedai makanan dan minuman Mamonyhi dan kedai ubat Tuck Onn Thong.

Aktiviti lawatan ini merupakan sebahagian daripada projek Cerita Cerita Pekan Lenggong yang diterajui Mohd. Suhaimi Ahmad dengan sokongan geran daripada Think City.

Menurut Mohd. Suhaimi, Wakaf Che Teh Fatimah yang berusia kira-kira 65 tahun kini menjadi pusat sehenti bagi pelbagai aktiviti komuniti.

“Pada tahun 2019, rumah ini telah diwakafkan kepada Majlis Agama dan Adat Melayu Perak dan mendapat keizinan daripada pemilik rumah tersebut, Che Yang Hasnun iaitu anak kepada Che Teh Fatimah.

“Beberapa bahagian di dalam rumah ini terus dipulihara dengan geran sokongan Think City sebagai warisan Melayu untuk pengunjung tempatan dan luar,” katanya.

MOHD. SUHAIMI (tiga dari kanan) bersama wakil Think City dan wakil media bergambar
di hadapan Wakaf Che Teh Fatimah.

Selain rumah warisan tersebut, Jejak Warisan turut membawa pelawat mengunjungi kedai makanan dan minuman Mamonyhi yang mula beroperasi sekitar tahun 1950-an dan masih berfungsi sehingga kini.

Pemilik asalnya, Mamonyhi berasal dari India dan terkenal dengan pelbagai hidangan yang menjadi tarikan pelanggan seperti cucur kundas dan mi rebus. Kini, kedai makanan dan minuman Mamonyhi diuruskan oleh menantunya.

Setiap kali musim perayaan, kedai tersebut menjadi tumpuan pengunjung pelbagai kaum yang datang ke pekan Lenggong.

Seterusnya, pelawat dibawa ke panggung wayang gambar Popular, sebuah bangunan bersejarah yang menjadi simbol hiburan masyarakat pekan Lenggong. Pawagam yang dipercayai dibangunkan sekitar pertengahan tahun 1960-an itu dahulunya mampu menampung seramai 200 penonton.

“Pelbagai filem popular seperti karya P. Ramlee, Bruce Lee, Wong Fei Hung, filem Hindi dan lain-lain sering mendapat tayangan penuh.

“Setiap tayangan bermula pada pukul 6 petang dan 9 malam dengan sekali-sekala tayangan tengah malam.

“Namun, populariti pawagam itu semakin merosot dan akhirnya berhenti beroperasi pada tahun 1980-an apabila cakera padat (CD) dan video cakera padat (VCD) mula memasuki pasaran,” katanya.

Selepas menikmati nostalgia pawagam, pelawat seterusnya dibawa ke kedai ubat Tuck Onn Thong, sebuah kedai herba Cina yang dibuka sejak awal tahun 1940-an.

Kedai tersebut terkenal dengan pelbagai herba Cina dan ubat-ubat tradisional dengan ramuan diimport terus dari China.

Malah, peralatan tradisional seperti penimbang, lesung tumbuk dan pengisar tradisi masih digunakan sehingga kini.

Kesemua pengalaman ini memberi pelawat gambaran nyata tentang cara tradisi dikekalkan dalam kehidupan seharian komuniti Lenggong.

Pengunjung yang berminat untuk melakukan Jejak Warisan boleh menghubungi Mohd Suhaimi melalui [email protected].

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN