SENI sulaman tangan bukan sekadar hobi, malah menjadi medium terapi yang membantu menenangkan fikiran.
Di sebalik setiap jahitan halus, tersimpan kesabaran, ketelitian dan emosi yang mendalam.
Bagi sesetengah individu, seni tradisional ini bukan sahaja mengisi masa lapang, malah menjadi cara untuk mengabadikan kenangan dalam bentuk karya yang boleh disentuh dan dihargai untuk jangka masa panjang.
Bagi Siti Nur Amalina Mohamad Sukri, 32, perjalanan dalam dunia seni sulaman bermula secara tidak dirancang ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada September 2020.
Menurutnya yang merupakan anak kelahiran Kuala Lumpur, ketika itu dia mencari aktiviti yang boleh mengisi masa lapang serta membantu menenangkan fikiran kerana tempoh PKP yang berpanjangan turut memberi kesan kepada kesihatan mentalnya.
“Saya ternampak di Shopee ada jual set sulaman, saya pun beli dan cuba buat kali pertama. Alhamdulillah memang rasa seronok sangat,” katanya.
Sejak itu, minatnya terhadap seni sulaman semakin berkembang.
Siti Nur Amalina kemudian mengambil inisiatif untuk belajar secara lebih mendalam dengan mengikuti pelbagai tutorial dalam talian bagi memperbaiki kemahirannya.
Menurut wanita itu, seni sulaman tangan mempunyai keunikan tersendiri berbanding medium seni lain seperti lukisan atau seni digital.

Pada pandangannya juga, kehidupan moden yang bergerak pantas menyebabkan ramai orang jarang memperlahankan rentak kehidupan.
“Seni sulaman ini mengajar kita untuk memperlahankan rentak dan kembali menghubungkan diri dengan jiwa sendiri,” jelasnya.
Dia turut berpendapat bahawa seni sulaman tangan merupakan salah satu bentuk seni yang tidak boleh digantikan dengan kecerdasan buatan (AI) sekali gus, menjadikannya lebih bernilai dan wajar dihargai.
Dalam menghasilkan karya sulamannya, Siti Nur Amalina memilih potret manusia sebagai antara karya utama yang dihasilkan.
Katanya, idea menghasilkan sulaman potret manusia pada awalnya datang daripada keinginan untuk menghasilkan hadiah istimewa buat ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat.
Kongsinya lagi, gambar yang disulam lazimnya memaparkan memori indah dan kenangan bermakna pelanggan.
“Apabila disulam, kenangan terindah itu diabadikan menjadi warisan bernilai yang boleh disentuh selamanya,” katanya.
Namun, menghasilkan sulaman potret manusia bukanlah sesuatu yang mudah kerana memerlukan ketelitian yang tinggi. Terangnya, proses bermula dengan menghasilkan lakaran gambar menggunakan aplikasi melukis secara digital.
“Saya turut menambah elemen lain seperti tulisan, bunga atau kalendar mengikut permintaan pelanggan.
“Selepas pelanggan bersetuju dengan draf reka bentuk tersebut, saya akan mencetak reka bentuk itu terus pada kain sebelum memilih warna benang yang sesuai.
“Selepas memilih warna-warna benang mengikut gambar ataupun permintaan pelanggan, barulah proses sulaman akan bermula,” jelasnya.
Tempoh menyiapkan satu sulaman potret bergantung kepada reka bentuk, saiz sulaman dan jumlah individu yang perlu disulam.
Secara purata, Siti Nur Amalina memerlukan antara 15 hingga 25 jam untuk menyiapkan satu sulaman potret manusia, manakala tempoh tersebut boleh menjadi lebih lama jika melibatkan lebih ramai individu.
Tambahnya, cabaran terbesar ketika menyulam potret manusia adalah memastikan wajah yang dihasilkan menyerupai gambar sebenar.
“Saiz wajah manusia yang perlu disulam selalunya sangat kecil, jadi saya perlu memberi tumpuan lebih untuk menghasilkan sulaman yang terbaik,” katanya.














