fbpx
MUHAMAD NAZHIIM sewaktu tiba di garisan penamat ketika menyertai Sekinchan Ultra.

Uji kekuatan diri dengan larian 50km ultramaraton

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGI sesetengah orang, menamatkan maraton sejauh 42 kilometer (km) sudah dianggap pencapaian besar. 

Namun bagi komuniti pelari jarak jauh, cabaran sebenar bermula dalam dunia ultramaraton  iaitu larian melebihi jarak maraton biasa.

Acara itu menguji ketahanan fizikal dan mental pelari seperti yang dilalui oleh pelari jarak jauh dari Cheras, Kuala Lumpur, Muhammad Nazhiim Abdul Rahim ketika menyertai Sekinchan Ultra baru-baru ini.

Pemuda berusia 30 tahun itu mengambil bahagian dalam kategori larian 50km yang merupakan percubaan pertamanya dalam acara ultramaraton selepas menamatkan tujuh larian maraton sebelum ini.

“Untuk pengalaman kali pertama ini, saya memilih jarak 50km sebagai langkah pertama sebelum mencuba cabaran yang lebih jauh pada masa hadapan.

“Saya pilih acara Sekinchan Ultra kerana terkenal dengan laluan unik yang merentasi kawasan sawah padi.

“Laluan ini juga antara jalan raya paling rata di Malaysia kerana hampir tiada bukit atau perubahan ketinggian sepanjang laluan,” katanya kepada CitaRasa.

Bagi kategori 50km, Muhammad Nazhiim memulakan larian pada pukul 12 tengah malam dengan had masa penamat selama 10 jam.

Ketika itu, suasana sawah padi tidak kelihatan dan pelari perlu bergantung kepada lampu kepala atau headlamp untuk melihat laluan di hadapan.

AKSI Muhammad Nazhiim sewaktu menyertai Sekinchan Ultra di Sekinchan, Selangor baru-baru ini.

Dalam maraton, stesen air biasanya disediakan setiap tiga kilometer, namun dalam ultramaraton checkpoint lazimnya ditempatkan pada jarak sekitar 10km.

Keadaan itu menyebabkan pelari perlu membawa bekalan sendiri seperti beg hidrasi, botol air serta makanan tambahan seperti ‘power gel’ bagi memastikan tenaga mencukupi sebelum tiba di checkpoint seterusnya.

Menurut Muhammad Nazhiim, dia membawa dua flask air dalam beg hidrasinya, satu diisi dengan air mineral dan satu lagi minuman elektrolit.

Apabila tiba di checkpoint, pelari boleh menambah bekalan air serta menikmati makanan yang disediakan oleh penganjur.

Menariknya, suasana di checkpoint selalunya meriah dengan pelbagai jenis makanan seperti sate, cendol, ais kacang dan bubur.

“Di checkpoint kilometer ke-20, saya sempat menikmati cendol bagi menyejukkan badan selepas berlari agak jauh, manakala sate dan bubur pula dinikmati pada kilometer ke-40, sebelum menamatkan baki larian.

“Tetapi saya makan dalam kuantiti sedikit supaya tidak terlalu kenyang untuk meneruskan baki larian,” katanya.

Muhammad Nazhiim berjaya menamatkan larian tersebut sekitar pukul 7 pagi, iaitu ketika matahari mula terbit dan panorama sawah padi cukup indah di garisan penamat.

Sementara itu, Muhammad Nazhiim memaklumkan, bagi menghadapi cabaran larian sejauh 50km, dia melakukan persediaan rapi selama beberapa bulan.

Sepanjang tempoh itu, Muhammad Nazhiim menyertai beberapa acara maraton sebagai sebahagian daripada latihan. Antaranya ialah Songkhla Marathon pada bulan Ogos serta Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon pada bulan Oktober.

MUHAMMAD NAZHIIM (tengah) memilih jarak 50km sebagai langkah pertama sebelum mencuba cabaran lebih jauh.

Selain itu, Muhammad Nazhiim menjalani latihan larian secara konsisten dengan jarak antara 80km hingga 100km setiap minggu bagi mengekalkan tahap kecergasan.

Dia turut melakukan latihan kekuatan di gimnasium sekali seminggu sebagai sokongan kepada latihan larian yang dijalani.

Katanya, bagi penyertaan pertama dalam kategori ultramaraton, dia tidak terlalu memberi tumpuan kepada catatan masa, sebaliknya matlamat utamanya adalah untuk menamatkan larian tersebut.

“Saya berjaya menamatkan larian 50km dalam masa tujuh jam, satu pencapaian yang memberikan kepuasan besar buat saya. 

“Ini kerana, itu jarak paling jauh yang pernah saya tempuh. Pengalaman tersebut juga menjadi penanda aras untuk saya mencuba cabaran lebih jauh pada masa hadapan.

“Saya merancang untuk meningkatkan jarak larian secara berperingkat sebelum mencuba kategori 100km pula nanti.

“Misalnya, menerusi acara UiTM Ultra 2027 yang dijangka menawarkan kategori 52km dan 104km,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN