MANCHESTER – Menjelang pertemuan menentang Aston Villa di Old Trafford malam ini, pengendali Manchester United, Michael Carrick sedikit lega apabila memiliki lebih pilihan selepas pemain tengah, Mason Mount disahkan pulih daripada kecederaan.
Perlawanan kali ini bukan sahaja menyaksikan United perlu mencari hadiah istimewa untuk penyokong sendiri, tetapi kemenangan juga mampu mengukuhkan semula kedudukan mereka di tangga ketiga.
Minggu lalu menyaksikan Carrick berdepan kekalahan pertama sejak mengemudi United apabila tunduk kepada Newcastle United menyebabkan kemenangan kali ini sangat diperlukan untuk kembali ke landasan positif menuju penamat musim.
Carrick mengesahkan Mount sudah kembali menjalani latihan selepas terlepas lima perlawanan bersama United apabila berdepan isu kecederaan yang tidak didedahkan selepas aksi derbi Manchester sebelum ini.
“Mason sudah kembali menjalani latihan bersama pasukan. Dia adalah pemain penting untuk kami dan saya gembira untuk melihat dia menjadi pilihan yang kami ada menjelang aksi menentang Villa.
“Dia mungkin belum benar-benar bersedia 100 peratus kerana hanya memiliki tempoh singkat latihan bersama pasukan, namun dia masih memiliki peluang untuk diturunkan, bergantung tahap kecergasan,” kata Carrick.
Sementara itu, beliau turut gembira dengan sesi latihan yang dijalani sepanjang minggu ini selepas mereka tewas kepada Newcastle apabila para pemain mempamerkan semangat yang jitu dan berkobar-kobar meraih semula kemenangan.
“Kekalahan itu membuatkan semua orang kecewa. Kami menelannya dan kembali ke padang latihan untuk membetulkan kesilapan serta belajar menjadi lebih baik.
“Sesi latihan yang dilalui sepanjang minggu ini menyaksikan seluruh pasukan memberikan komitmen terbaik dan mereka tidak sabar untuk turun beraksi menentang Villa dan menebus kekalahan lalu,” jelasnya. – AGENSI














