fbpx
Gambar hiasan

Remaja maut motosikal terbabas ketika larikan diri dari polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAMPAR – Seorang remaja lelaki berumur 17 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan melanggar besi ketika cuba melarikan diri daripada polis dalam kejadian di Jalan Pasar di Kampar pada pukul 10 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

“Siasatan awal mendapati mangsa bersama empat rakannya yang masing-masing menunggang motosikal telah ternampak pasukan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) sebelum bertindak melarikan diri dan berpecah.
“Anggota URB yang berada di lokasi telah mengarahkan kumpulan terbabit berhenti, namun mereka bertindak memecut meninggalkan kawasan berkenaan. Polis kemudian mengekori dari jarak kira-kira 150 meter dengan menyalakan lampu isyarat kecemasan sebelum mangsa dilihat melarikan diri dengan menunggang motosikal melawan arus,” katanya di Kampar hari ini.

Katanya lagi, motosikal mangsa telah melanggar bonggol berhampiran pasar tersebut yang menyebabkan dia hilang kawalan sebelum melanggar besi tangga berhampiran longkang.

“Mangsa ditemui terbaring di sebelah motosikal jenis Yamaha 135LC yang mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan. Pemeriksaan lanjut dilakukan mendapati remaja terbabit tidak mempunyai lesen memandu dan motosikal ditunggangnya dipercayai telah diubah suai.

“Difahamkan, mereka melarikan diri kerana takut dikenakan tindakan oleh polis. Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN