KLANG – Stok simpanan makanan di Selangor akan dipertingkatkan kepada tiga bulan berbanding sebulan sebelum ini dalam menghadapi kemungkinan gangguan bekalan global.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Datuk Dr. Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, pelaksanaan inisiatif menerusi program Gudang Makanan Selangor susulan keadaan geopolitik dunia termasuk ketegangan di Selat Hormuz berpotensi memberi kesan kepada bekalan minyak gas sekali gus menjejaskan rantaian makanan.
“Situasi ini boleh memberi kesan besar kepada ekonomi dan bekalan makanan termasuk di negeri ini.
“Kita pernah melihat perkara sama ketika pandemik Covid-19. Sebab itu sekuriti makanan amat penting dan kita akan pertingkatkan bekalan daripada satu kepada tiga bulan,” katanya pada Majlis Iftar Ukhwah PKPS dan Media di sini, malam ini.
Menurut beliau, pihaknya turut melancarkan Pelan Transformasi Agribisnis PKPS 2026–2030 (SEED2030) dalam menyasarkan peningkatan pengeluaran komoditi utama termasuk kelapa sawit sehingga 735,000 tan metrik atau peningkatan 65 peratus menjelang 2030.
“Selain itu, pengeluaran ayam disasarkan meningkat sehingga 20.1 juta ekor dalam tempoh sama bagi memastikan bekalan makanan terus mencukupi,” ujarnya
Tambah beliau, PKPS turut akan membangunkan projek ladang tenusu di Bukit Tagar, Hulu Selangor yang dijangka bermula pada suku kedua tahun ini dengan kapasiti pengeluaran kira-kira 32,850 liter susu sehari. – KOSMO! ONLINE














