KATHMANDU – Nepal mula menjual tong gas memasak separuh penuh untuk membendung penyembunyian stok dan pembelian panik, kata beberapa pegawai semalam, berikutan gangguan bekalan disebabkan perang Asia Barat.
Negara Banjaran Himalaya mempunyai 30 juta penduduk itu hampir sepenuhnya bergantung kepada India untuk keperluan bahan api.
Kira-kira 90 peratus gas petroleum cecair (LPG) India melalui Selat Hormuz yang kini berdepan sekatan oleh Iran.
Ketika bekalan terus mengecil, New Delhi mengutamakan isi rumah, pengangkutan, dan sektor penting lain seperti hospital.
Nepal bagaimanapun masih mempunyai bekalan gas mencukupi tetapi mengurangkan isipadu tong supaya lebih ramai orang mendapat bekalan.
“Keputusan dibuat untuk mula menjual tong separuh penuh,” kata jurucakap Nepal Oil Corporation milik kerajaan, Manoj Kumar Thakur kepada AFP.
“Bekalan kami kekal utuh tetapi perang di Asia Barat dan berita kekurangan bahan api menyebabkan pengguna membeli lebih daripada yang mereka perlukan,” tambahnya. – AFP














