fbpx
DISIFATKAN lebih meriah berbanding tahun sebelumnya, penghasilan lagu-lagu raya 2026 menyaksikan variasi; artis, muzik dan konsep seiring evolusi dan tradisi makna sambutan sebuah hari paling istimewa, 1 Syawal yang penuh keberkatan.

Lambakan lagu raya 2026, siapa paling menyengat?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENJELANG Syawal, bukan dapur sahaja yang berasap dengan bau rendang dan ketupat, bukan bazar-bazar atau pusat jualan sahaja yang sesak manusia yang ghairah memburu segala keperluan, industri muzik juga mula ‘panas’ dengan satu tradisi tidak rasmi, perang lagu raya.

Tahun lalu, Serumpun nyanyian Mimi Fly, Ketipak Ketipung Raya (Aisha Retno & Aziz Harun), Meriah Lain Macam (Nadeera & Hael Husaini) dan Nyam Nyam Ketupat (Wani Kayrie & Zizan Razak) antara lagu raya yang ‘mendunia’ sepanjang Aidilfitri 2025.

Tahun ini, persaingan lagu mungkin paling meriah dalam meriah dalam sejarah. Bukan sahaja penyanyi arus perdana, generasi Gen Z, milenial sehingga pempengaruh media sosial berlumba-lumba melancarkan karya masing-masing.

Daripada lagu rancak yang mengajak menari sehinggalah dendangan syahdu meruntun emosi, Aidilfitri 2026 menyaksikan lambakan karya baharu berebut tempat menduduki senarai lagu raya bakal diingati sepanjang zaman.

Paling mengejutkan, lagu Mama Papa Raya daripada keluarga Datuk Aliff Syukri menjadi antara lagu raya pilihan ramai dan trending, malah video muziknya barangkali lebih banyak kali ditonton berbanding lagu penyanyi hebat tanah air lain.

Pok Pek Raya – De Fam

PERNAH mendunia dengan Alamak Raya Lagi pada Hari Raya Aidilfitri 2024, tahun ini kumpulan De Fam muncul lagi menerusi Pok Pek Raya. Pok Pek Raya berkisarkan tentang gelagat mereka yang beraya dan bersembang tanpa henti mengenai pelbagai perkara.

Antara yang menjadi topik bualan pada musim perayaan pastinya mengenai ‘bila nak kahwin’, ‘tiada anak lagi?’ dan gosip semasa. Ramai berpendapat Pok Pek Raya nyanyian Azira Shafinaz, Sophia Liana dan Cik Manggis tersebut memaparkan realiti sebenar yang berlaku setiap kali berkunjungan pada hari raya.

Beraya Dengan Saya – Siti Nurhaliza

TIDAK mahu ketinggalan, Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza kembali dengan lagu raya terbaharunya, Beraya Dengan Saya yang dilihat berbeza berbanding genre yang dibawakan sebelum ini. Beraya Dengan Saya yang dilancarkan pada 25 Februari lalu menampilkan genre pop tradisional hasil gandingan Iqie Hugh dan Omar K. Kata Siti, perubahan dilakukan kerana mahu memastikan karya yang dihasilkan mengikut arus muzik masa kini.

Tak Sabar Nak Raya – Nabila Razali

SELEPAS tular dengan lagu Raya Mana? ciptaan Ezra Kong pada tahun 2024, Nabila Razali kembali memeriahkan Aidilfitri tahun ini menerusi Tak Sabar Nak Raya.
Tak Sabar Nak Raya! merupakan prekuel Raya Mana? yang bercerita mengenai suasana raya sewaktu dirinya masih belum bergelar isteri, sekali gus melengkapkan naratif raya yang pernah dikongsikan sebelum ini.

Menariknya, Tak Sabar Nak Raya! ciptaan ciptaan Brendan Lim Seng Meng, Denise Chan Li-Hsia, Foong Le Xin serta Asyraf Nasir turut menampilkan pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad sebagai kemunculan istimewa.
Bukan sekadar elemen hiburan semata-mata, Tak Sabar Nak Raya! menunjukkan semangat umat Islam meraikan hari lebaran dan mengingatkan sesama kita tentang kemanisan raya itu sendiri.

Dendang Raya – Marsha Milan

MARSHA Milan tampil berani dengan lagu raya solo pertamanya berjudul Dendang Raya. Membawa aura klasik, menariknya, lagu yang mempertaruhkan rentak bossa nova dan sentuhan retro ini. Dilancarkan pada 6 Mac lalu, siapa sangka Dendang Raya merupakan hasil ciptaan Marsha sendiri. Setakat artikel ini ditulis, hampir 50,000 jumlah tontonan Dendang Raya dalam YouTube.

Suasana Raya – Ernie Zakri, Syamel

MENAMPILKAN gabungan klasik raya, lirik menyentuh jiwa, keserasian vokal pasangan penyanyi Ernie Zakri dan Syamel melancarkan lagu Suasana Raya.
Dikenali dengan lagu-lagu balada yang penuh emosi, Ernie menyifatkan proses rakaman lagu ini sebagai satu pengalaman yang menyeronokkan dan berbeza.

Bagi Syamel pula, kekuatan utama lagu tersebut terletak pada melodinya yang ‘catchy’ dan cukup sinonim dengan kemeriahan suasana perayaan.
Lagu hasil ciptaan Adam Armin dan Yusuff Khan itu melakukan penggambaran muzik video di beberapa lokasi menarik serta destinasi mesra Muslim di sekitar Hong Kong.

 

Drama Raya – Zulin Aziz, Nasz sally, Maryam DurianKimchi

TRIO pelawak, Zulin Aziz, Nasz Sally dan Maryam DurianKimchi memeriahkan sambutan Aidilfitri tahun ini menerusi single berjudul Drama Raya.
Drama Raya merupakan sebuah lagu raya ringan yang mengangkat kisah sebenar yang sering berlaku dalam kehidupan masyarakat setiap kali menjelang pagi Syawal. Difahamkan lagu tersebut diinspirasikan daripada pelbagai situasi serta drama yang pastinya dilalui semua orang ketika Hari Raya Aidilfitri.

Keserasian trio terbabit juga bukan sesuatu yang asing buat peminat apabila hubungan mereka yang terjalin sejak program Muzikal Lawak Superstar terus kukuh sehingga kini. Selain elemen komedi dan hiburan, Drama Raya turut menyelitkan isu perbezaan generasi antara golongan milenial dan Gen-Z secara santai, mencerminkan perubahan budaya raya masa kini tanpa meninggalkan nilai tradisi.

Rasa Raya – Amad Dayyan, Thalita

JIKA mahukan lagu raya yang iramanya lebih segar tetapi tetap kedengaran klasik, mungkin Rasa Raya nyanyian Amad Dayyan dan Thalita adalah jawapan terbaik.
Menggunakan muzik asal lagu Rasa Sayang, Rasa Raya pula mengetengahkan suasana raya generasi muda atau Gen Z.
Dalam video muzik rasmi turut menampilkan Que Haidar, Shuib dan Siti Sairah.

Rata-rata netizen menyifatkan lagu Rasa Raya ‘kena’ dengan mood raya ditambah pula adunan irama moden dan tradisional. Rasa Raya juga mengubat kerinduan ramai untuk mendengar lagu daripada penyanyi cilik sekali gus mengimbau zaman kanak-kanak menyambut Aidilfitri.

Raya Yay Yay – Ryan Bakery, Dafi, Farel Prayoga

RAYA Yay Yay merupakan satu kolaborasi unik merentas dua negara apabila Dafi dan Ryan Bakery bergabung tenaga bersama penyanyi Indonesia, Farel Prayoga.
Hasil lagu terbitan FYP Media merupakan ciptaan sepenuhnya Iqie Hugh, Omar K dan John Jeeves dilancarkan secara rasmi pada 27 Februari lalu.

Hanya mendengar bait-bait lirik, sudah cukup untuk membawa pendengar mengimbau kembali kegembiraan dan kenangan menyambut Aidilfitri ketika zaman kanak-kanak dahulu. Ketiga-tiga penyanyi itu menganggap peluang merakamkan Raya Yay Yay sebagai kesempatan istimewa.

Jodoh Lebaran – Aisha Retno

SELEPAS fenomena Ketipak Ketipung Raya yang berduet dengan Aziz Harun, Aisha Retno kembali membuktikan taringnya menerusi lagu raya baharu berjudul Jodoh Lebaran. Sebelum pelancaran rasmi pada 6 Mac lalu, ‘teaser’ korus lagu ini sudah pun mencetuskan kegilaan dalam TikTok.

Menariknya, ramai yang sangat teruja dengan lagu tersebut terutamanya selepas versi penuh diluncurkan pada 6 Mac lalu. Ada yang mencipta koreografi tarian untuk lagu tersebut sehingga menjadi tular dan diikuti ramai. Rata-rata juga mengatakan Jodoh Lebaran merupakan pemenang bagi lagu raya tahun ini.

Senyum Gugur Di Penghujung Doa – Dayang Nurfaizah

JIKA anda peminat irama melankolik, Senyum Gugur Di Penghujung Doa adalah pilihan tepat.
Selain lirik lagu yang sangat terkesan, nyanyian Dayang Nurfaizah nyatanya memberi impak mendalam kepada sesiapa sahaja yang pernah merasai kehilangan insan tersayang.

Alunan muziknya yang perlahan turut merobek jiwa pendengar seolah-olah memeluk hati yang sedang menanggung rindu. Karya ciptaan Hael Husaini bersama Iqie Hugh itu membawa pendengar mengimbau kenangan bersama mereka yang pernah mengisi ruang hidup namun kini hanya tinggal dalam doa dan ingatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN