PETALING JAYA – Minggu depan merupakan minggu akhir Ramadan dan hanya berbaki dua hari lagi persekolahan sebelum warga kota pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri menyebabkan ramai sudah ‘liat’ untuk bekerja.
Rata-rata orang ramai berseloroh ‘berpura-pura’ ke pejabat untuk bekerja memandangkan ‘mood’ Aidilfitri sudah tiba. Kebanyakan warga kota dijangka mula bercuti panjang mulai Rabu depan untuk menyambut Syawal yang dijangka jatuh pada Sabtu.
Tinjauan di platform media sosial mendapati mereka sudah mula hilang fokus terhadap tugasan hakiki. Bagi kebanyakan warga kota, minggu terakhir sebelum cuti panjang bukan lagi waktu untuk mengejar Petunjuk Prestasi Utama (KPI), sebaliknya masa untuk mengira detik pulang ke kampung.
Seorang pengguna berkata, meskipun fail masih menimbun atas meja, dia mengakui sudah hilang fokus.
“Minggu ini pun sudah pura-pura rajin walaupun kerja berlambak. Roh sudah balik raya dulu, jasad sahaja yang tinggal di tempat kerja,” katanya.
Walau bagaimanapun, terdapat segelintir pekerja yang masih mempunyai bebanan tugasan yang tidak dapat dielakkan.
“Saya tak boleh nak berpura-pura sebab kerja banyak. Rasa nak siapkan (kerja) sebelum cuti raya, nanti fikir kerja tak siap masa raya nanti,” kata pengguna lain.
“Alangkah baiknya boleh berpura-pura, tengah kacau bubur lambuk pun bos telefon suruh masuk meeting (mesyuarat),“ balas Sajidahsopian. – KOSMO! ONLINE














