PETALING JAYA – Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh meminta bantuan orang ramai untuk menjejaki seorang remaja dikenali sebagai Ikram yang dipercayai berasal dari Jasin, Melaka selepas dilaporkan berada di Kuala Lumpur sebelum menghilangkan diri.
Menerusi satu video yang dimuat naik di Facebook, beliau berkata, perkara itu diketahuinya selepas tular perkongsian Ketua Aktivis dan Pengasas Pertubuhan Jejak Jalanan, Mohamad Azhan Mohamed Adnan atau lebih dikenali sebagai Abbe Hae baru-baru ini.
Menurutnya, Ikram dikatakan datang bersendirian dari Jasin ke Kuala Lumpur sebelum keberadaannya tidak lagi dapat dikesan.
“Semalam viral satu cerita daripada Abang He yang kita kenal sebagai seorang aktivis yang banyak membantu gelandangan di Kuala Lumpur.
“Ada seorang adik ni dinamakan Ikram, kalau tak silap saya, yang menyatakan dia datangnya dari Jasin, Melaka iaitu tempat saya juga,” katanya.
Tambah beliau, sebaik mengetahui perkara tersebut, beliau terus meminta isterinya menghubungi isteri Abbe Hae bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai remaja itu.
Bagaimanapun katanya, dimaklumkan bahawa Ikram sudah tidak dapat ditemui pada pagi hari kejadian selepas dipercayai keluar dan menghilangkan diri.
Sehubungan itu, beliau mengambil inisiatif untuk membantu mencari remaja terbabit bagi mengetahui masalah yang dihadapi sehingga sanggup datang bersendirian ke Kuala Lumpur.
“Saya nak ambil inisiatif, kalau adik tu tengok video ini ataupun mana-mana individu yang kenal adik itu, saya cuba nak bantu.
“Kita pun minggu depan nak raya. Apa sahaja masalah yang adik hadapi, beritahu saya,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau turut merayu kepada rakyat Malaysia supaya memaklumkan kepadanya sekiranya ternampak atau mengetahui lokasi Ikram.
“Saya takkan tinggalkan orang kampung saya, orang Jasin saya takkan tinggalkan.
“Insya-Allah saya nak cari adik ini supaya dia dapat balik ke Jasin beraya bersama keluarga. Kalau tak ada pun, raya dengan saya sekalipun,” katanya.
Semalam, Abbe Hae dalm perkongsiannya di Facebook memberitahu, remaja tersebut ditemuinya kira-kira pukul 2 pagi ketika beliau bersama pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Bangsar mengagihkan makanan sahur dan barangan mandian kepada gelandangan di sekitar Kuala Lumpur.
Katanya, remaja itu memaklumkan telah bergelandangan di ibu negara selama empat hari dan berasal dari Melaka.
Menurutnya, remaja berkenaan mendakwa ibu bapanya telah meninggal dunia dan dia merupakan anak sulung daripada dua beradik.
Katanya lagi, adiknya kini tinggal bersama makcik mereka manakala dia menetap bersama abang saudara, selain semua dokumen pengenalan dirinya dipegang oleh individu tersebut.
“Abbe bagi dia RM100 untuk dia balik semula ke Melaka tapi nampaknya dia seperti tidak akan berpatah balik ke Melaka dan ingin berdikari di Kuala Lumpur,” katanya.
Bagaimanapun, dalam hataran terbaharu Abbe Hae, beliau memaklumkan telah dihubungi oleh saudara kepada Ikram.
“Tadi (semalam) Abbe dihubungi oleh sedara maranya dan bercerita tentang remaja ini…Kalau begitu peel (perangai) remaja ni maka gelaplah masa depannya di Kota Metropolitan.
“Dia dah pun setahun lari dari rumah mak sedara yang menjaganya. Bukan mak sedara tak cari tapi lokasi yang diberi selalu tak betul. Ceritanya belum habis lagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE














