MADRID – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui peluang pasukannya untuk lolos ke suku akhir sangat tipis selepas tewas 0-3 kepada Real Madrid dalam aksi pertama pusingan 16 saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL), awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, pemain tengah Los Blancos, Federico Valverde meledak jaringan hatrik dan pasukan tuan rumah boleh meraih keputusan 4-0 tetapi sepakan penalti Vinicius Junior berjaya diselamatkan Gianluigi Donnarumma.
Guardiola tidak terkejut dengan kekalahan itu kerana Real terbukti sentiasa menjadi ‘racun’ dalam kariernya dan harap pasukan dapat melakar kejutan pada kedua di laman sendiri nanti.
“Ini kali ke-50 saya berdepan Real sebagai pemain dan jurulatih. Bila anda fikir mereka sudah lemah (apabila kehilangan beberapa pemain utama), mereka pasti melakukan kejutan yang luar biasa.
“Apa yang pasti, kita berjaya selamatkan satu sepakan penalti yang bermakna tewas 0-3 lebih baik daripada 0-4. Sekarang peluang (mara ke suku akhir) itu tidak besar, tetapi kami tetap akan cuba,” katanya.
Pengendali dari Sepanyol itu turut mempertahankan percaturannya menurunkan tiga pemain sayap, Jeremy Doku, Savinho dan Antoine Semenyo untuk membantu Erling Haaland di jentera serangan.
“Saya tidak mahu katakan taktikal kami silap tetapi saya mahukan pemain yang agresif untuk membantu Haaland. Doku bermain dengan baik tetapi harus diakui kita agak bergelut di posisi sayap kanan (posisi Savinho),” katanya. – AGENSI














