PETALING JAYA – Seorang wanita meluahkan rasa pening dan terkejut apabila anaknya secara tiba-tiba memberitahu bahawa dia telah memberikan wang sebanyak RM200 kepada seorang rakan di sekolah.
Menerusi perkongsian pengguna Threads @nurnaraamira, wanita itu memuat naik tangkap layar perbualan WhatsApp bersama seorang ibu kepada rakan kelas anaknya.
“Assalamualaikum puan, boleh tak puan tanya Luth ada tak Raziq bagi dia duit? Dia memang suka bagi orang duit, pening saya. Bukan seorang ya dia bagi, saya nak pengsan rasa,” kata ibu pelajar tersebut.
Menurut @nurnaraamira, dia kemudian bertanya pada anaknya soal pemberian duit tersebut.
“Pening ya kepala dengan (anak) nombor dua, hari itu kotak pensel, pengasah…ini duit. Kisahnya baca mesej mak Raziq dekat kampung, tanya anak lepas sahur.
“Lutu, Raziq ada bagi awak duit? Berapa ringgit? Ada berapa kosong? Ya Allah…,” katanya.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial yang rata-ratanya berkongsi pengalaman hampir sama melibatkan anak-anak di sekolah.
“Anak saya masa itu Tahun 3, 2024…masa itu dia dekat sekolah baru. Dia bawa duit raya dia yang saya dah simpan dalam beg khas. Duit kertas warna ungu itu cikgu dia boleh bawa ke sekolah,” kongsi Hasmiza.
“Pernah anak masa itu umur lima tahun bagi duit raya RM400 pada anak kawan. Saya buat air di dapur, masa mereka nak balik, saya bagi duit raya RM10. Anak terus cakap, tak payah dia dah bagi RM100, empat keping. Nak pitam rasanya, saya minta balik, cuak muka kawan,” kata Noraini Samli. – KOSMO! ONLINE














