fbpx
ADZLI (tiga dari kanan) pada sidang akhbar di IPD Kuala Muda, Sungai Petani hari ini. Foto oleh SHAHIR NOORDIN

Kes tembak komander AKPS: Anggota PGA sempadan diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam menjadi individu terbaharu yang ditahan susulan kes tembakan terhadap komander sempadan di situ bulan lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, anggota berusia lingkungan 30-an dan berpangkat koperal itu diberkas ketika bertugas di kawasan sempadan tersebut pada 5 Mac lalu.

Katanya, anggota dari bahagian risik terbabit juga didapati positif dadah jenis ketamin dan dia telah direman selama tujuh hari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

“Suspek ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kes tembakan itu. Kita percaya dia mengenali dan berkawan rapat dengan ahli kumpulan sindiket penyeludupan, Geng Pak Su.

“Dia dipercayai mengambil dadah bersama ahli kumpulan sindiket itu dan terbukti apabila kita tangkap, dia positif dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini hari ini.

Selain itu, katanya, siasatan juga mengesyaki suspek bersama salah seorang ahli geng tersebut berada di sekitar lokasi kejadian kira-kira empat hingga lima jam sebelum insiden tembakan berlaku.

“Kita akan siasat apa sahaja maklumat yang kita peroleh dan kita tidak akan sesekali berkompromi, tidak kira lah sama ada dia anggota polis mahupun AKPS.

“Ini kerana kita percaya anasir-anasir begini, penglibatan dalam dadah akan membawa kepada ketidakpatuhan undang-undang, tiada integriti dan disiplin, menerima rasuah dan sebagainya. Sebab itu kita akan ambil tindakan,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, setakat ini tiada pengakuan daripada anggota terbabit dan 10 suspek lain dipercayai ahli Geng Pak Su yang ditahan bagi membantu siasatan dalam kes itu.

“Bagi anggota itu, kita akan dapatkan pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dalam tempoh terdekat. Dia dipercayai sudah bertugas di kawasan sempadan kira-kira dua tahun,” jelasnya.

Kosmo! pada 25 Februari lalu melaporkan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir nyaris terkena tembakan yang dilepaskan ke arahnya dalam kejadian kira-kira pukul 5.40 pagi.

Kejadian itu berlaku ketika Mohd. Nasaruddin dalam perjalanan ke sebuah masjid untuk menunaikan solat Subuh dengan memandu kenderaan utiliti sukan Proton X70.

Beliau bagaimanapun terselamat apabila dua tembakan yang dilepaskan oleh salah seorang daripada dua suspek yang menaiki sebuah motosikal tersasar. Susulan itu, polis menahan 11 suspek di sekitar Bukit Kayu Hitam bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI