TEHRAN – Tiga kapal kargo terkena bedilan ‘peluru berpandu tidak diketahui’, kata pihak berkuasa maritim dalam serangan terbaharu di Selat Hormuz, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).
Tekanan di laluan utama minyak dunia itu semakin meningkat sejak Israel dan Amerika Syarikat (AS) menyerang Iran akhir bulan lalu. Ia menyebabkan trafik perkapalan menurun, manakala harga bahan api global melonjak.
Antara tiga kapal kargo diserang termasuk kapal mengibarkan bendera Thailand, yang berada lebih 20 kilometer dari pantai Oman.
Kebakaran berlaku di atas kapal tersebut, manakala Tentera Laut Diraja Thailand berkata, 23 anak kapal berjaya diselamatkan.
Iran mengaku bertanggungjawab dan berkata, kru kapal itu tidak mengendahkan amarannya.
Kapal kedua adalah kapal kontena berbendera Jepun yang diserang 46 kilometer dari pantai Emiriyah Arab Bersatu (UAE), menyebabkan ia mengalami kerosakan kecil.
Kapal kargo ketiga pula berada lebih 90 kilometer ke barat Dubai, demikian menurut pusat maklumat Operasi Perdagangan Maritim UK (UKMTO).
Jurucakap Tehran, Ebrahim Zolfaqari berkata: “Bersedialah untuk minyak berada pada paras AS$200 (RM786) setong kerana harga minyak bergantung kepada kestabilan serantau yang telah anda jejaskan.”
Terdapat 13 serangan yang disyaki dilakukan Iran ke atas kapal-kapal yang beroperasi di sekitar Teluk sejak perang bermula. – AGENSI














