KUALA LUMPUR – Perseorangan wanita negara, Wong Ling Ching memulakan kempen Kejohanan Badminton Terbuka Switzerland dengan langkah kanan selepas meneruskan kemaraan ke pusingan kedua.
Pada aksi pusingan pertama di St. Jakobshalle, Basel sebentar tadi, pemain No.37 dunia itu mudah mencatat kemenangan straight set 21-14, 21-9 ke atas pemain Taiwan, Huang Yu Hsun dalam tempoh 29 minit.
Dia yang mara ke suku akhir Terbuka Jerman dua minggu lalu memulakan permainan dengan cukup baik apabila jauh meninggalkan lawan menerusi kedudukan 13-6 sebelum Yu Hsun merapatkan kedudukan 16-10.
Bagaimanapun, Ling Ching berjaya mengekalkan fokus sebelum mengutip mata demi mata biarpun dicabar pemain lawan, seterusnya memastikan kemenangan 21-14 di set pertama, sekali gus mendapat tonik untuk set kedua.
Memasuki set kedua, anak buah Iskandar Zulkarnain Zainuddin itu berjaya mengekalkan momentum apabila menguasai sepenuhnya permainan sebelum memastikan kemaraan ke pusingan kedua dengan kemenangan 21-9.
Menjelang pusingan kedua esok, pemain kelahiran Miri, Sarawak itu akan membuat perhitungan dengan pilihan utama dari Indonesia, Putri Kusuma Wardani yang menewaskan pemain India, Tanvi Sharma 21-11, 21-10. – KOSMO! ONLINE














