KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini membenarkan permohonan kerajaan untuk menangguhkan bayaran ganti rugi RM3 juta kepada keluarga aktivis kebajikan, Amri Che Mat yang hilang hampir sedekad lalu sementara menunggu rayuan.
Pesuruhjaya Kehakiman Zalita Zaidan turut menggantung perintah agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka semula siasatan kehilangan Amri bermula hari ini dan melaporkan perkembangan kepada Peguam Negara setiap dua bulan.
Pada 5 November 2025, Mahkamah Tinggi memerintahkan Kerajaan Malaysia dan PDRM membayar ganti rugi selepas membenarkan saman isteri Amri, Noorhayati Mohd Ariffin apabila mendapati plaintif berjaya membuktikan kes berdasarkan prinsip imbangan kebarangkalian dan kedua-dua pihak itu bertanggungjawab atas kehilangan aktivis tersebut.
Beliau memutuskan perkara itu selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak terlibat hari ini.
Ketika membacakan penghakiman ringkasnya, Zalita menyatakan mahkamah mengambil kira terdapat keadaan khas dalam kes ini yang mewajarkan pemberian perintah penangguhan pelaksanaan itu.
Selain itu, katanya, isu penubuhan dan pelaksanaan Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan Kementerian Dalam Negeri pada 2019 bukan sekadar melibatkan perkara pentadbiran semata-mata, sebaliknya tindakan yang dilaksanakan cabang eksekutif (kerajaan).
“Mahkamah pula berada dalam cabang kehakiman berasingan dan perlu kekal bebas dalam menjalankan fungsinya. Dalam hal ini, mahkamah tidak berada dalam kedudukan untuk mengarahkan pihak eksekutif melaksanakan tindakan tertentu yang berada dalam bidang kuasa mereka,” katanya.
Pada prosiding hari ini, Peguam Kanan Persekutuan, Zetty Zurina Kamaruddin mewakili kerajaan selaku defendan, manakala peguam Surendra Ananth mewakili Noorhayati selaku plaintif.
Terdahulu, ketika berhujah, Surendra berkata, anak guamnya tidak membantah penangguhan pelaksanaan pembayaran ganti rugi itu kerana mengakui jumlah tersebut agak besar dan melibatkan dana awam.
“Bagaimanapun, kami membantah penangguhan supaya siasatan diteruskan kerana keutamaaan sekarang adalah mencari suami anak guam saya yang masih hilang,” katanya.
Zetty berkata, wujud keadaan khas yang mewajarkan penangguhan kerana perintah khusus Mahkamah Tinggi itu didakwa bertentangan dengan Perlembagaan dan melangkaui bidang kuasa mahkamah.
Jelasnya, perintah Mahkamah Tinggi itu mengandungi tiga komponen iaitu mengarahkan pegawai tertentu dikeluarkan daripada siasatan, memulakan semula siasatan dan melaporkan perkembangan siasatan kepada Peguam Negara setiap dua bulan.
“Ia seolah-olah satu perintah injunksi yang memaksa kerajaan tentang bagaimana untuk melaksanakan tugasnya.
“Kertas siasatan kehilangan Amri masih dibuka. Kerajaan tidak pernah menghentikan siasatan. Mahkamah tidak boleh campur tangan dalam bidang kuasa eksekutif dengan menentukan siapa yang boleh atau tidak menjalankan siasatan,” katanya.
Pada 24 November 2016, Amri yang merupakan pengasas bersama Persatuan Kebajikan Perlis Hope meninggalkan rumahnya di Kangar dengan memandu Toyota Fortuner berwarna perak sekitar pukul 10.30 malam. Noorhayati pula merupakan individu terakhir melihat suaminya.
Keesokan paginya, kenderaan itu ditemukan ditinggalkan di tapak pembinaan Bukit Chabang kira-kira 25 kilometer dari rumah mereka dalam keadaan tingkap pecah, namun bapa empat anak itu tiada di lokasi.
Saksi mendakwa melihat beberapa kenderaan pacuan empat roda mengepung Fortuner mangsa pada malam sebelumnya, namun hingga kini identiti mereka masih misteri. Kes Amri pada awalnya diklasifikasikan sebagai orang hilang.
Bagaimanapun, tahun berikutnya, seorang anggota polis Cawangan Khas memberitahu Noorhayati bahawa suaminya mungkin dipantau pihak tertentu kerana dikaitkan dengan ajaran Syiah.
Pada 3 April 2019, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia melalui inkuiri awam yang dijalankan sejak Oktober 2017 merumuskan Cawangan Khas Bukit Aman bertanggungjawab ke atas kehilangan Pastor Raymond Koh dan Amri. – KOSMO! ONLINE














