JAKARTA – Penduduk sebuah perkampungan di Indonesia mengundang perhatian pengguna media sosial apabila menjemur benih padi yang dituai di sepanjang jalan yang menjadi laluan utama, lapor portal berita Lambe Turah.
Rakaman video dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @muhammadirfanfanani menunjukkan sepanjang jalan itu dipenuhi benih padi yang dijemur sehingga meninggalkan hanya sedikit ruang untuk dilalui.
Situasi itu menyebabkan pengguna jalan raya terpaksa meneruskan perjalanan mereka dengan melanggar benih padi tersebut.
Rakaman itu mencatatkan lebih 4.6 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Nasib baik orang ramai tidak mengamuk,” kata seorang netizen.
“Mengapa di situ tidak ada ayam?” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI














