fbpx
FAM ketika ini masih berada di bawah pentadbiran AFC yang sedang menilai kelemahan untuk ditambah baik ekoran isu pemalsuan dokumen pemain warisan negara.

Pemilihan FAM perlu disegerakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

WALAUPUN agak perit untuk ditelan, hukuman yang diterima ekoran isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan Harimau Malaya wajar dijadikan pedoman untuk memacu bola sepak negara ke arah lebih baik.

Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, walaupun perit berdepan hakikat tersebut, semua pihak perlu terus melangkah dan memikirkan jalan keluar sekali gus dapat membina semula reputasi yang tercalar.

Pekan berpendapat, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) wajar segera mencari tarikh untuk mengadakan kongres pemilihan baharu bagi memastikan badan induk itu memiliki ketua dan barisan kepimpinan untuk memacu mereka kembali ke landasan terbaik.

“Sepatutnya kita kena ‘move on’ dengan cepat dan menerima akibat ini dengan penuh keinsafan dan menyesali apa yang sudah berlaku. Biarlah masa sahaja yang akan menentukan untuk kita didedahkan dengan dalang sebenarnya.

“Lupakan segala ego, insaflah dan semua pihak harus bersama-sama kembali membangunkan ‘rumah yang hampir runtuh ini’,” katanya.

FAM ketika ini sedang diurus oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang berperanan untuk melakukan penilaian terhadap segala kelemahan badan induk bola sepak negara itu.

Sementara itu, seorang lagi pemerhati bola sepak tanah air, Zakaria Ibrahim memberi penekanan kepada kriteria pemimpin yang akan dipilih untuk menerajui FAM sekiranya kongres diadakan nanti.

“Paling penting juga kalau diadakan pemilihan adalah orang yang macam mana akan memimpin FAM. Statut pun kena diubah kerana bola sepak kita pun sudah berkembang, kalau boleh pemilihan tidak lagi terhad kepada FA negeri sebaliknya mungkin boleh wujudkan kuota kepada kelab, wakil penyokong atau pun wakil media.

“Buat masa sekarang, biarlah AFC buat kerja dulu kerana kalau terburu-buru, kita risau akan ada benda (perkara perlu ditambahbaik) yang tertinggal. Apabila ia lebih terbuka, akan ada semak dan imbang tetapi kalau masih kekal seperti sekarang, maknanya tidak ada apa yang kita reset,” jelasnya.

Setakat ini, belum ada gambaran jelas bila kongres pemilihan baharu akan dibuat, namun beberapa nama sudah disebut layak untuk mengisi kekosongan berkenaan termasuk mantan presiden yang juga Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan The Red Warriors (TRW), Datuk Mohd. Irwan Rizal pernah menyenaraikan dua lagi kerabat iaitu pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai calon yang wajar untuk diangkat.

Selain itu, tokoh korporat se­perti Tan Sri Tony Fernandes juga turut dikaitkan ke jawatan panas berkenaan selain nama Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan turut dikait.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN