fbpx
Tangkap layar gambar Iphone dan perbualan mangsa dengan individu berkenaan.

Rugi RM6,880, baru nak rasa pakai iPhone 15 Pro Max

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Hasrat seorang pelajar lelaki berusia 18 tahun untuk memiliki telefon bimbit iPhone 15 Pro Max tidak kesampaian apabila diperdaya sehingga kerugian RM6,880.

Mangsa yang enggan dikenali berkata, kira-kira pukul 4 petang, 6 Mac lalu, dia terlihat satu iklan telefon terpakai iPhone 15 Pro Max di sebuah platform dalam talian yang dijual pada harga sekitar RM2,000.

Menurutnya, dia kemudian menghubungi penjual berkenaan, dan memintanya memindahkan wang pendahuluan sebanyak RM1,000 ke sebuah akaun bank.

“Keesokan harinya, saya menerima nombor jejak penghantaran melalui WhatsApp daripada individu yang mendakwa mewakili sebuah syarikat logistik tempatan.

“Pada 8 Mac lalu, saya sekali lagi menerima mesej daripada pihak logistik yang bertanyakan tentang barangan yang dibeli dan meminta membayar deposit jaminan sementara sebanyak RM500,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, dia sekali lagi diminta membuat bayaran tambahan RM500 sebagai caj proses sebelum dimaklumkan bahawa harga barangan tersebut melebihi RM2,500 dan mungkin membabitkan isu pengelakan cukai.

“Oleh itu mereka juga meminta saya membayar tambahan RM1,000. Saya kemudian diminta membayar lagi RM1,000 sebagai bayaran proses. Pihak berkenaan berjanji semua wang itu akan dipulangkan selepas bungkusan diterima, malah meminta saya mengisi satu borang pemulangan wang,” ujarnya.

Mangsa berkata, pihak terbabit kemudiannya meminta dia membuat bayaran duti setem dan cukai kastam sebanyak RM2,880 dengan alasan bungkusan hanya akan dihantar selepas bayaran tersebut dibuat.

“Bagi meyakinkan saya, mereka turut menghantar gambar kad pekerja syarikat logistik yang disyaki palsu.

“Pihak terbabit mendakwa bungkusan akan dihantar sekitar pukul 3 petang kelmarin, namun apabila saya menyemak nombor penjejakan, tiada rekod ditemui.

“Ketika itu barulah saya sedar telah ditipu lalu membuat laporan polis di Balai Polis Setapak,” katanya.

Tambahnya, selepas laporan polis dibuat, suspek masih menghantar mesej peribadi dan meminta bayaran tambahan RM3,000 sebagai ‘insurans sementara’ dengan alasan wang itu akan dipulangkan sekiranya bungkusan sampai tanpa sebarang kerosakan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN