KUALA LUMPUR – Demi kecintaan mendalam terhadap hobi, pelakon Riezman Khuzaimi mengakui sanggup berhabis wang ribuan ringgit demi mencantikkan atau melakukan ‘makeover’ motosikal ketika muda.
Riezman, 55, yang meminati dunia pemotoran sehingga ke hari ini berkata, dia masih menunggang motosikal untuk keperluan harian dan meneruskan minatnya.
“Memang menjadi satu kebiasaannya untuk peminat motor mencantikkan atau ‘makeup’ motosikal yang baru dibeli.
“Saya sendiri dulu banyak berhabis duit untuk mencantikkan motosikal. Pada zaman dahulu pun boleh dikatakan beribu juga wang dibelanjakan. Contoh RM10,000 beli motosikal perlu tambah RM5,000 lagi untuk cantikkan motor.
“Selalunya perkara pertama yang dibuat adalah menukar satu set bahagian motosikal mengikut warna pilihan, selain menukar cermin sisi dan ekzos haruslah yang ‘bising’ sedikit,” tuturnya mengenang zaman muda.
Riezman berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersempena pelancaran filem Malaikat Malam yang berlangsung di Kingston Hotel, Bukit Jalil, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Riezman berharap masyarakat tidak melabel semua peminat dunia permotoran atau mat rempit sebagai individu yang tidak mempunyai masa depan yang cerah.
Katanya, minat seseorang tidak boleh dijadikan ukuran untuk menilai masa depan mereka. Hal ini kerana, ada juga dalam kalangan mat rempit memiliki latar belakang pendidikan yang bagus.
“Mat rempit sebenarnya golongan yang mempunyai jiwa kelajuan dan minat yang sangat kuat terhadap motosikal.
“Sebenarnya dalam kalangan mereka ada yang bagus dan berpelajaran. Istilah ‘rempit’ itu diberikan oleh masyarakat. Hakikatnya mereka hanyalah budak-budak yang minat motosikal.
“Zaman sekarang, saya percaya ada dalam kalangan budak motor yang menjadi doktor, peguam, tapi mereka mungkin pernah melalui fasa mat rempit,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Riezman membintangi filem Malaikat Malam yang akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 26 Mac ini.
Selain Riezman, filem arahan pengarah baharu, Nazifdin Nasrudin itu turut dibintangi Syafiq Kyle, Tracie Sinidol Que Haidar, Amir Nafis dan Kodi Rasheed. – KOSMO! ONLINE














