LONDON – Seorang lelaki di Derbyshire, Britain diberikan rawatan kecemasan di hospital selepas badannya bertukar biru, sebelum doktor mendapati bahawa ia berpunca daripada warna cadar yang luntur, lapor akhbar Metro UK.
Tommy Lynch, 42, membeli cadar berwarna biru dan tidur di atasnya selama dua malam apabila dia bangun dengan rupa seperti watak kartun Smurf.
Dia juga berasa sangat letih, menyebabkan seorang rakan bergegas membawa Lynch ke hospital terdekat.
Lelaki itu terus dibawa berjumpa doktor dan diberikan katil dalam beberapa minit, sementara kakitangan kecemasan meletakkannya di atas katil dengan oksigen.
Apabila doktor menggosok lengannya dengan tisu alkohol, kapas itu bertukar menjadi biru sebelum Lynch menyedari puncanya adalah cadar baharu yang tidak dibasuh.
“Saya tidak pernah tahu bahawa kita perlu membasuh cadar baharu sebelum tidur di atasnya,” kata Lynch. – AGENSI














