KUALA LANGAT – Niat seorang kontraktor membantu dua lelaki yang kononnya sesat bertukar detik ngeri apabila dia disamun dan dicederakan dalam kejadian di sebuah kebun sawit di Bukit Perah, Banting di sini, semalam.
Kejadian itu mengakibatkan mangsa lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an diikat serta dipukul sebelum suspek melarikan sebuah pacuan empat roda miliknya.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian samun bersenjata tersebut daripada mangsa kira-kira pukul 10.15 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa didatangi dua lelaki tempatan yang berjalan kaki sebelum bertanyakan arah jalan keluar kerana mendakwa sesat di kawasan kebun berkenaan.
“Bagaimanapun, salah seorang suspek secara tiba-tiba mengeluarkan sebilah parang sebelum mengikat tangan dan kaki mangsa.
“Suspek kemudian menendang muka mangsa sehingga menyebabkan bibirnya pecah sebelum melarikan Toyota Hilux, telefon bimbit serta barangan peribadi termasuk wang tunai berjumlah RM9,500,” katanya hari ini.
Mohd. Akmalrizal berkata, polis berjaya menemukan semula pacuan empat roda milik mangsa yang ditinggalkan suspek di tepi Jalan Prima Puchong kira-kira sejam selepas kejadian dan usaha mengesan serta menangkap kedua-dua suspek masih giat dijalankan ketika ini.-KOSMO! ONLINE














