JAKARTA – Satu klip video tular memaparkan berpuluh-puluh wanita muda berkumpul di tepi jalan untuk memberikan 1,500 makanan berbuka puasa kepada penunggang motosikal di Indonesia, lapor portal berita Lambe Turah.
Pengagihan itu dibuat di Jalan Basuki Rahmat di bandar Madiun, wilayah Jawa Timur semalam.
Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @officiallambeturah menunjukkan sejumlah penunggang motosikal gembira apabila menerima beg kertas berisi makanan daripada wanita-wanita itu.
Difahamkan, wanita-wanita tersebut merupakan pekerja dari sebuah pusat karaoke, Radefa Karaoke Madiun.
Jurucakap Rafeda Karaoke Madiun, Yenti Nurul Kholifah berkata, pengagihan itu bertujuan untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti yang bermanfaat semasa bulan Ramadan.
Rakaman itu mencatatkan lebih 587,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Mereka berpakaian sopan, bagus!” kata seorang netizen.
“Jangan menilai orang dari segi pekerjaan tetapi hatinya,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI














