Industri e-sukan di Malaysia terus berkembang pesat seiring peningkatan minat generasi muda terhadap permainan video kompetitif.
Kejohanan-kejohanan profesional yang dianjurkan saban tahun bukan sahaja menarik penyertaan pemain tempatan berbakat, malah turut membuka peluang kepada jenama teknologi untuk menyokong pembangunan ekosistem e-sukan negara.
Antara liga paling berpengaruh dalam arena e-sukan tempatan ialah Mobile Legends: Bang Bang Professional League (MPL) Malaysia yang menjadi pentas utama bagi pasukan profesional mempamerkan kemahiran mereka.
Kejohanan ini juga berperanan sebagai platform penting dalam melahirkan pemain bertaraf antarabangsa serta memupuk komuniti peminat yang semakin berkembang.
Jenama teknologi yang semakin popular dalam kalangan pengguna muda, Infinix sekali lagi mencipta pencapaian baharu dalam landskap e-sukan Malaysia apabila Mobile Legends: Bang Bang Professional League (MPL)
Malaysia Musim ke-16 menutup tirai pusingan Playoffs dengan penuh debaran bertempat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) November lalu.
Sebagai rakan rasmi telefon pintar permainan MPL Malaysia, Infinix membekalkan semua pemain profesional dengan peranti Infinix GT 30 Pro.

Peranti tersebut juga berperanan sebagai telefon pintar permainan rasmi bagi MPL Malaysia Musim ke-16, sekali gus membuat penampilan sulungnya dalam kejohanan itu selepas menggantikan model GT 20 Pro yang digunakan pada Musim ke-15.
Pemain jungler untuk pasukan e-sukan Selangor Red Giants (SRG), Sekyss atau nama sebenarnya Muhammad Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman berkata, dia amat menyukai telefon bimbit tersebut yang disifatkan sebagai mesra bajet.
“Bagi saya telefon ini cukup baik kerana harganya mampu milik, namun spesifikasinya ibarat sebuah telefon bimbit high-end (berkualiti tinggi),” kata Sekyss.
MPL Malaysia Musim ke-16 menyaksikan persaingan sengit dari awal hingga akhir. Selepas enam minggu perlawanan musim biasa yang berlangsung di Dewan Sri Putra, enam pasukan terbaik berjaya mara ke peringkat Playoffs iaitu SRG, CG Esports, Homebois, Aero Esports, Monster Vicious dan Team Vamos.
Setiap pasukan membawa momentum serta jalan cerita tersendiri menjelang pusingan penentuan tersebut dan hanya dua pasukan yang layak ke pusingan akhir.
Perlawanan Grand Final menyaksikan pertembungan antara SRG dan CG Esports dalam aksi yang menepati jangkaan peminat dengan SRG akhirnya muncul juara, sekali gus merangkul kejuaraan MPL Malaysia Musim ke-16.
Kejayaan SRG itu melengkapkan kejuaraan keempat berturut-turut dalam liga MPL Malaysia.
Sehubungan itu, kejayaan tersebut juga membolehkan SRG dan CG Esports meraih slot untuk mewakili Malaysia ke Kejohanan Dunia M7 iaitu kejohanan antarabangsa utama anjuran MOONTON Games.
Menurut Pengarah Pemasaran Infinix Malaysia, Wai Kiat Hong, MPL Malaysia Musim ke-16 mencerminkan perkembangan pesat serta semangat komuniti e-sukan mudah alih di negara ini.
“Musim ke-16 benar-benar mencerminkan perkembangan dan semangat e-sukan mudah alih di Malaysia.
“GT 30 Pro membuat penampilan sulung sebagai telefon pintar permainan rasmi MPL Malaysia musim ini dan kami berbangga melihat prestasinya yang konsisten di bawah tekanan kejohanan.
“Tahniah saya ucapkan kepada SRG atas kejuaraan keempat berturut-turut yang luar biasa serta kepada CG Esports atas prestasi hebat dalam musim pertama mereka. Kami menantikan peluang untuk terus menyokong pasukan Malaysia apabila mereka beraksi di pentas dunia,” katanya.
Sepanjang musim berlangsung, para pemain menjalani latihan, sesi scrim dan pertandingan menggunakan secara eksklusif peranti Infinix GT 30 Pro yang direka khusus bagi memenuhi keperluan e-sukan profesional. Telefon pintar ini dikuasakan cipset MediaTek Dimensity 8350 5.5G yang menawarkan respon pantas untuk permainan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) berintensiti tinggi.
Peranti tersebut turut dilengkapi paparan AMOLED 1.5K dengan kadar segar semula 144Hz bagi memberikan pergerakan visual yang lebih lancar.
Keupayaan mengekalkan kadar bingkai stabil pada 120fps ketika bermain MLBB membolehkan pemain melaksanakan gerakan dengan lebih tepat terutama ketika pertarungan pasukan yang sengit.
Selain itu, sistem penyejukan 3D VCC Cooling membantu memastikan suhu peranti kekal stabil sepanjang perlawanan yang panjang, sekali gus menyokong prestasi konsisten ketika pertandingan berlangsung.
Salah satu inovasi menonjol pada musim ini ialah ZoneTouch Master, teknologi pengoptimuman sentuhan berkuasa kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan oleh Infinix. Sistem ini menyesuaikan kepekaan sentuhan mengikut kawasan skrin bagi menyokong pelbagai tindakan dalam permainan MLBB.
Teknologi tersebut memastikan pergerakan joystick dapat dilakukan tanpa gangguan, meningkatkan ketepatan sentuhan untuk penggunaan kemahiran secara pantas, menstabilkan pergerakan jarak dekat pada mini peta serta memastikan kawalan seret kamera lebih lancar.
Tahap ketepatan sentuhan ini menjadi kelebihan penting bagi pemain profesional yang sering bergantung pada keputusan dalam tempoh beberapa saat sahaja.
Dalam masa sama, Infinix turut memperkukuh penglibatan mereka dalam arena e-sukan tempatan dengan menaja beberapa pasukan sepanjang Musim ke-16, termasuk Homebois, Monster Vicious, Aero Esports dan CG Esports.
CG Esports khususnya berjaya menarik perhatian peminat apabila melangkah jauh dari status pasukan baharu kepada pencabar di pentas Grand Final.
Pencapaian tersebut turut melayakkan mereka ke pentas dunia M7 buat kali pertama yang berlangsung Januari lalu di Indonesia.
Kejohanan dunia itu dijuarai oleh kumpulan dari Filipina, Aurora Gaming PH selepas menewaskan wakil tuan rumah, Alter Ego dengan skor bersih 4-0 di peringkat Grand Finals.
SRG pula muncul di tempat ketiga.
Dengan berakhirnya MPL Malaysia Musim ke-16, Infinix menegaskan komitmennya untuk terus menyokong pembangunan bakat e-sukan serta menyediakan teknologi berprestasi tinggi yang mampu meningkatkan pengalaman permainan bagi atlet dan peminat di seluruh negara.














