fbpx
PERMAINAN turut direka untuk membantu membangunkan kemahiran seperti koordinasi mata dan tangan.

Taman tema interaktif Game On

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAMAN tema interaktif merupakan antara lokasi ideal buat seisi keluarga untuk meluangkan masa bersama terutama ketika musim cuti sekolah.

Ia juga berperanan sebagai platform hiburan yang menggalakkan interaksi, kerjasama dan komunikasi antara ahli keluarga di samping membantu kanak-kanak menyalurkan tenaga secara positif serta membina keyakinan diri melalui aktiviti yang menyeronokkan dan mencabar.

Muncul sebagai antara tarikan hiburan dalaman (indoor) di Lembah Klang tanpa bergantung kepada cuaca, Game On @ The Mines boleh menjadi pilihan khususnya bagi pengunjung yang mencari pengalaman taman tema interaktif.

Terletak di The Mines Shopping Mall, Seri Kembangan, Selangor, taman tema ini menggabungkan elemen permainan fizikal, teknologi digital dan cabaran berkumpulan dalam satu ruang yang moden serta mesra keluarga. 

Taman tema ini juga melengkapkan pilihan hiburan di pusat beli-belah ikonik itu, sekali gus menjadikannya destinasi sehenti untuk membeli-belah, menjamu selera dan berhibur.

GAME On yang terletak di The Mines Shopping Mall, Seri Kembangan, Selangor merupakan lokasi sesuai untuk seisi keluarga meluangkan masa bersama.

Menurut Pengurus Taman Tema Game On, Shaun Lee, keistimewaan utama Game On terletak pada konsep ‘active gaming’ iaitu gabungan permainan video dan aktiviti fizikal sebenar. 

“Tidak seperti taman tema konvensional yang bergantung kepada permainan mekanikal, Game On mengetengahkan pengalaman interaktif yang memerlukan pergerakan badan, kerjasama pasukan dan strategi. 

“Antara tarikan popular termasuk permainan berasaskan sensor pergerakan, cabaran lantai diod pemancar cahaya (LED) interaktif, permainan dinding digital serta zon realiti maya (VR) yang memberi pengalaman imersif seolah-olah berada di dunia permainan sebenar,” katanya ketika ditemu bual CitaRasa pada majlis pelancaran Game On @ The Mines di The Mines Shopping Mall, Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.

Tambahnya, bagi pengunjung kanak-kanak dan remaja, taman tema ini menjadi ruang ideal untuk menyalurkan tenaga secara positif. 

Permainan yang ditawarkan bukan sahaja menyeronokkan, malah membantu membangunkan kemahiran seperti koordinasi mata dan tangan, refleks, keseimbangan serta pemikiran kritikal. Dalam masa yang sama, elemen keselamatan turut diberi keutamaan dengan penyeliaan kakitangan terlatih serta reka bentuk permainan yang sesuai untuk pelbagai peringkat umur.

Kongsinya lagi, Game On @ The Mines turut memberi tumpuan kepada hiburan berasaskan keluarga dan kumpulan. 

KEISTIMEWAAN utama Game On terletak pada konsep ‘active gaming’ iaitu gabungan permainan video dan aktiviti fizikal sebenar.

“Banyak permainan direka untuk dimainkan secara berpasukan, menjadikannya sesuai untuk aktiviti keluarga, sambutan hari jadi, acara sekolah atau sesi latihan berkumpulan korporat. 

“Suasana kompetitif yang sihat digabungkan dengan elemen keseronokan, membolehkan ibu bapa dan anak-anak berinteraksi secara aktif tanpa jurang usia,” ujarnya.

Dari sudut rekaan dalaman, taman tema ini menampilkan suasana futuristik dengan pencahayaan neon, skrin digital besar dan susun atur ruang yang luas. 

Reka bentuk ini bukan sahaja menarik perhatian pengunjung, malah mencipta pengalaman visual yang ‘Instagrammable’, selari dengan trend hiburan moden yang mementingkan elemen perkongsian di media sosial. 

Ini menjadikan Game On bukan sekadar tempat bermain tetapi juga lokasi untuk mencipta kenangan dan kandungan digital.

Kelebihan lain Game On @ The Mines ialah lokasinya yang strategik. Terletak di dalam pusat beli-belah The Mines, pengunjung boleh menggabungkan lawatan ke taman tema ini dengan aktiviti lain seperti menonton wayang, membeli-belah atau menikmati pelbagai pilihan restoran. 

Akses yang mudah serta kemudahan parkir yang mencukupi menjadikannya pilihan praktikal untuk lawatan hujung minggu atau cuti sekolah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN