Sambutan Aidilfitri kini banyak berubah mengikut peredaran masa dan gaya hidup masyarakat, sehingga kos persiapan raya pun semakin meningkat.
Pembelian pakaian baharu, kuih raya, dekorasi rumah, pemberian duit raya dan kos pengangkutan membuatkan ramai pening kepala.
Dahulu, baju raya cukup satu atau dua pasang sahaja. Harga sekitar RM50 hingga RM80, tetapi sekarang ramai yang beli tiga hingga empat pasang. Harga pula RM150 hingga RM400 sepasang. Sekarang jenama dan fesyen lebih penting.
Dahulu, kuih raya banyak dibuat sendiri. Kos bahan mentah sekitar RM30 hingga RM60 dan boleh dapat pelbagai jenis kuih raya.
Sekarang, ramai yang beli kuih raya di gerai-gerai dan media sosial disebabkan sibuk bekerja dan kekangan masa.
Satu balang antara RM20-RM35, kadangkala lebih RM50. Kebanyakan kuih raya dibeli jenis premium.
Duit raya kanak-kanak pula dahulu serendah 50 sen hingga RM2, namun sekarang RM5 hingga RM20 seorang.
Dahulu, langsir dan hiasan rumah tukar jika perlu sahaja, tetapi sekarang ramai yang tukar setiap tahun. Perbelanjaan boleh mencecah RM1,000.
Kos balik kampung juga semakin tinggi. Perbelanjaan perjalanan pulang kampung dahulu ratusan ringgit sahaja, sekarang kos petrol dan tol selain penyelenggaraan kenderaan melebihi RM1,000.
Jika menaiki bas ekspres, tambang sehala ke Pantai Timur seperti Kota Bharu mencecah RM120 menjelang tiga hari sebelum raya. Harga tiket ke utara juga naik dua kali ganda.
Disebabkan ini, ramai yang mengharapkan dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 6.15 peratus dikreditkan terus ke Akaun 3, namun hasrat tidak tercapai apabila Akta KWSP 1991 melarang pemindahan dividen secara merentasi akaun.
Sekarang duit lebihan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pula diharapkan sehingga ramai yang menghantar e-Filing sebaik ia dibuka bermula 1 Mac lalu.
Tekanan sosial untuk memenuhi keperluan raya juga telah mendorong ramai individu menggunakan pelbagai instrumen kredit terutama skim ‘beli sekarang bayar kemudian’ (BNPL) selain kad kredit dan pinjaman peribadi.
Persiapan menyambut raya bukan perkara kecil kerana ada suami isteri yang bercerai selepas raya disebabkan tekanan kewangan.
Peguam sivil dan syarie meÂrangkap Timbalan Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia, Muhammad Hariz Md. Yusoff dilaporkan berkata, pendaftaran perceraian di Mahkamah Syariah kadangkala mencatatkan peningkatan selepas raya.
Katanya, ia seolah-olah menjadi satu trend yang membimbangkan.
Disebabkan itu, merancang perbelanjaan lebih awal sangat penting. Bajet khas raya perlu disediakan supaya perbelanjaan tidak melebihi kemampuan.
Elakkan membeli barangan yang tidak perlu atau terlalu mengikut trend. Keutamaan harus diberikan kepada keperluan asas.
Sambutan raya tidak perlu terlalu mewah kerana yang penting ialah mengeratkan hubungan kekeluargaan. Jangan hanya kerana raya datang setahun sekali, kita berbelanja secara berlebihan sehingga poket pun ‘terlondeh’.
















