JAKARTA – Satu video tular di media sosial memaparkan keadaan sebuah gudang dimiliki sebuah platform e-dagang di Semarang, wilayah Jawa Tengah dipenuhi bungkusan barangan untuk dihantar kepada pelanggan menjelang Hari Raya Aidilfitri, lapor portal berita Lambe Turah.
Dalam video tersebut, puluhan ribu bungkusan barangan yang dibeli secara online memenuhi setiap sudut.
Keadaan itu dikatakan menghalang pengedaran bungkusan kepada pengguna, malah dilaporkan terhenti buat sementara waktu disebabkan oleh jumlah barangan yang melebihi kapasiti biasa.
Fenomena itu disyaki berpunca daripada lonjakan pesanan yang mendadak menjelang Aidilfitri. Keghairahan orang ramai untuk membeli-belah pada hari cuti bermaksud aliran barangan ke gudang logistik tidak setanding dengan kelajuan penghantaran keluar.
“Beribu-ribu guni berisi bungkusan kini tersekat di gudang Shopee Semarang menjelang Aidilfitri,” tulis hantaran itu.
Pelanggan yang merasakan bungkusan mereka tidak berpindah lokasi atau status penghantarannya tidak berubah sejak beberapa hari lalu juga diminta untuk bersabar. – AGENSI














