GEORGE TOWN – Kematian seorang lelaki asing yang mayatnya dijumpai di kawasan lapang berhampiran Gat lebuh Macallum di sini awal pagi tadi dilpercayai berpunca akibat hentakan objek tumpul di kepala.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, maklumat itu diperoleh hasil keputusan bedah siasat yang dijalankan di Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini.
“Keterangan yang diperoleh di lokasi kejadian dan badan mangsa menunjukkan kecederaan di kepala dipercayai dipukul dengan objek tumpul. Siasatan secara menyeluruh dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa yang berusia dalam lingkungan 20-an ditemukan terbaring tidak sedarkan diri oleh anggota polis sewaktu melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan tersebut pada pukul 12.05 malam semalam.
“Tiada pengenalan diri ditemukan, kita percaya mangsa merupakan warga asing. Kematiannya disahkan oleh petugas ambulans Hospital Pulau Pinang,” ujarnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Suhaimi Mat di talian 019- 2327008.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan mengenai penemuan mayat lelaki asing dalam keadaan cedera parah pada muka dan kepala dipercayai dipukul di Lebuh Macallum hari ini. -KOSMO! ONLINE














