PETALING JAYA – Tindakan seorang wanita menyamar sebagai pelayan kedai makan untuk membuat kejutan kepada ibu bapanya selepas lama berjauhan menarik perhatian ramai.
Detik menyentuh hati itu dikongsikan kakaknya menerusi hantaran di Threads @Serisofyana_ yang memaparkan adiknya dikenali sebagai Eca menghampiri meja ibu bapa mereka yang sedang menjamu selera.
Sebaik bapanya memandang wajah Eca, lelaki itu menyedari ‘pelayan’ tersebut rupa-rupanya anak kandungnya dan menitiskan air mata. Lelaki itu terharu melihat kepulangan anak perempuannya lantas dua beranak tersebut berpelukan.
Menurut kakaknya, Eca baru sahaja pulang selepas sembilan bulan berlayar.
“Selamat pulang, Eca. Selepas berlayar selama sembilan bulan dengan tekanan mental daripada kapten sehingga berat badannya susut 12 kilogram. Ayah tak sampai hati tengok, aku tahu ia sangat sukar, tapi aku percaya kau mampu bertahan,” ujarnya.
Menjengah ke ruangan komen, pelbagai reaksi ditinggalkan netizen terhadap hantaran tersebut.
“Ayah dengar suara saja terus dia cam anaknya,” kata @The_hennagirl.
“Ayah dia tengok mata pun dah tahu itu anak dia. Mata yang dia tatap dari kecil, yang dibelai yang dijaga sehabis baik,” kata @Afzan_satar
“Itulah cinta pertamanya. Sekilas pandang ayah dia dah kenal. Saya tak tahu kisah tetapi saya lemah betul tengok seorang ayah menangis, dengan saya menangis sekali,” balas @Qwerfiy. – KOSMO! ONLINE














