KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah selepas merampas lebih 3.4 tan dadah jenis methamphetamine dianggarkan bernilai RM170 juta dalam dua siri serbuan di sekitar ibu negara pada 2 Mac lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, rampasan tersebut merupakan antara yang terbesar direkodkan setakat tahun ini.
Menurut beliau, dalam operasi dikenali sebagai Op Chrysogaster, pihaknya turut menahan dua lelaki tempatan berusia antara 38 hingga 44 tahun.
Katanya, serbuan pertama dijalankan di sebuah rumah teres di sekitar Taman Gembira ketika kedua-dua suspek sedang memunggah beberapa guni putih dari dalam rumah ke sebuah lori jenis Mitsubishi berwarna putih.
“Hasil pemeriksaan di dalam lori dan rumah tersebut menemukan 128 guni putih mengandungi 3,205 bungkusan dadah disyaki methamphetamine seberat 3,320.69 kilogram serta empat paket plastik lutsinar berisi dadah disyaki pil ekstasi seberat 1.4 kilogram,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, susulan tangkapan itu, polis menjalankan pemeriksaan di sebuah lagi rumah teres di sekitar Overseas Union Garden, Jalan Klang Lama.
“Hasil pemeriksaan menemukan tiga guni putih dan satu beg berwarna kuning mengandungi 79 bungkusan disyaki methamphetamine seberat 81.4 kilogram,” ujarnya.
Menurutnya, jumlah keseluruhan rampasan methamphetamine adalah 3,284 bungkusan dengan berat 3,402.18 kilogram.
“Hasil siasatan mendapati salah seorang suspek berperanan sebagai transporter, manakala seorang lagi merupakan ahli sindiket. Sindiket ini dipercayai aktif sejak Disember 2025,” katanya.
Tambah beliau, modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan menyewa lori bagi membawa bekalan dadah dari utara Semenanjung ke sekitar Lembah Klang sebelum disimpan di rumah sewaan.
“Dadah itu dipercayai diseludup dari ‘golden triangle’, sebelum dipasarkan di dalam negara serta luar negara,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati salah seorang suspek positif methamphetamine, amphetamine dan benzo.
“Rampasan dadah ini dianggarkan mampu merosakkan sehingga 17 juta individu sekiranya berada di pasaran,” jelasnya.
Hussein berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.
Kedua-dua suspek kini direman selama 14 hari bermula 3 Mac hingga 16 Mac ini bagi membantu siasatan.
“Semakan lanjut turut mendapati salah seorang suspek mempunyai 14 rekod jenayah lampau, melibatkan 12 kes dadah dan dua kes jenayah lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE














