LUMUT – Kegagalan memohon kuota pekerja asing menerusi laman web Pusat Sehenti Pengurusan Pekerja Asing (OSC) Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyebabkan sebilangan majikan di negeri ini terpaksa menggunakan khidmat golongan tersebut tanpa permit.
Wakil majikan dikenali sebagai Ching berkata, ramai dalam kalangan mereka telah mencuba melakukan permohonan secara online tersebut namun maklum balas diterima adalah slot janji temu telah penuh.
Katanya, keadaan itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan mereka kerana KDN mengumumkan pada 6 Mac lalu bahawa permohonan kuota pekerja asing dibuka tanpa had tempoh dan bukannya sehingga 31 Mac depan.
“Tak guna buka permohonan kuota pekerja asing tanpa had tempoh kerana hakikatnya tiada lagi permohonan yang boleh dibuat. Hari ini kami cuba lagi dan masih lagi tertera bahawa slot janji temu sudah penuh.
“Keadaan ini amat mengecewakan kerana ia memaksa sebilangan dari kami untuk terus menggunakan khidmat pekerja asing tanpa permit,” katanya pada sidang akhbar di Ayer Tawar hari ini.
Seorang majikan dikenali sebagai Ah Meng, 42, berkata, dia dan isterinya sering mencuba nasib melakukan permohonan kuota pekerja asing menerusi laman web KDN tersebut namun tidak membuahkan hasil.
Katanya, keadaan itu menyebabkan dia terpaksa menggunakan pekerja warga Indonesia tanpa permit di ladang sayurnya di Ayer Tawar, Sitiawan.
“Saya ada sembilan orang pekerja dan separuh daripada mereka gagal mendapat permit. Bukan tak cuba memohon tetapi memang tak lepas (memohon), apatah lagi mendapat tarikh janji temu dengan KDN,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, masalah slot janji temu itu penuh telah berlaku sejak sebelum sebelum KDN mengumumkan permohonan kuota tersebut boleh dibuat tanpa had tempoh.
“Sekarang walaupun permohonan sudah boleh dibuat tanpa had tempoh, slot janji temu telah penuh. Bagaimanapun majikan-majikan ini mahu mengupah pekerja asing secara sah?
“Sebab itu kita dapat lihat ada majikan yang terpaksa menggunakan khidmat pekerja asing secara tidak sah kerana kegagalan mendapatkan permit ekoran masalah sebegini,” katanya. – KOSMO! ONLINE














