KEPUTUSAN Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) untuk menolak rayuan yang dikemukakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan negara adalah sudah dijangka kerana isu pemalsuan dokumen dianggap kes yang sangat berat.
Peguam sukan dan komersial tanah air, Hairul Vaiyron Othman menjelaskan apa yang ditetapkan oleh CAS selaku badan timbang tara telah mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Kata Hairul, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memandang serius isu pemalsuan dokumen, tetapi FAM boleh meminta alasan penuh daripada pihak CAS susulan keputusan rayuan yang telah dikeluarkan.
“Keputusan CAS sudah dijangka. Apa yang dikeluarkan menerusi siaran media sememangnya mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada.
“Pemalsuan dokumen merupakan satu kesalahan yang berat dan dalam kaca mata FIFA, tindakan ini dibuat untuk mendapatkan kelebihan secara tidak jujur dan tidak beretika.
“Sekalipun dihujahkan adalah adalah satu kelemahan institusi (selepas diakui pentadbiran FAM) tetapi kesan yang terhasil untuk kesalahan itu tetap sama.
“Selepas ini, pihak CAS sendiri akan menyiapkan award (alasan) penuh nanti dan terpulang kepada pihak terlibat (FAM) sama ada bersetuju untuk award ini diterbitkan secara umum atau tidak,” katanya.
Mengulas lanjut, Hairul yang berpengalaman mengendalikan kes di peringkat CAS ketika mewakili Sabah FA sebelum ini mengesahkan setiap keputusan yang dikeluarkan adalah muktamad dan tidak boleh dirayu.
“Berkenaan fakta kes dan hujahan perundangan, (keputusan) adalah final, tetapi jika ada isu ketidakpatuhan prosedur dalam perbicaraan CAS boleh dirayu di Tribunal Persekutuan Swiss (SFT)
“Cuma, rayuan ini khusus untuk isu prosedur sahaja dalam CAS mengeluarkan award dan bukan untuk keseluruhan kes,” katanya.














