fbpx
Gambar hiasan

Pencarian serpihan MH370 di Lautan Hindi masih ‘buntu’ – MOT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Misi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sewaktu dalam penerbangan ke Beijing yang dikatakan berakhir di Lautan Hindi masih menemui jalan buntu.

Ini selepas operasi pencarian yang dijalankan oleh Ocean Infinity di kawasan seluas 15,000 kilometer persegi di lautan tersebut belum menemukan sebarang bukti.

Bagaimanapun, Kementerian Pengangkutan (MOT) menerusi Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) berkata, kerajaan kekal komited memastikan keluarga mangsa terus dimaklumkan mengenai perkembangan terbaharu dan akan memberikan kemas kini dari semasa ke semasa.

Katanya, pada 25 Mac 2025, Kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian dengan Ocean Infinity untuk menjalankan operasi pencarian di dasar laut bagi mengesan pesawat tersebut di kawasan baharu dianggarkan seluas 15,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi.

Bagaimanapun katanya, perjanjian itu adalah berteraskan prinsip ‘tiada penemuan, tiada bayaran’.

“Operasi pencarian dijalankan secara dua fasa dari 25 hingga 28 Mac 2025 (Fasa Satu) dan 31 Disember 2025 hingga 23 Januari 2026 (Fasa Dua). Secara keseluruhannya, 28 hari operasi pencarian dijalankan melibatkan 7,571 kilometer persegi dasar laut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

MOT berkata, Ocean Infinity memaklumkan aktiviti tinjauan tambahan dijalankan di kawasan pencarian yang lebih luas sebelum perjanjian rasmi ditandatangani pada Mac tahun lalu,

Ia sebahagian daripada usaha untuk menyokong operasi tersebut, namun misi tersebut beberapa kali terganggu disebabkan faktor cuaca dan keadaan laut dengan fasa kedua berakhir pada 23 Januari lalu.

Menurut laporan media sebelum ini, pesawat MH 370 dilaporkan hilang dari radar tidak sampai sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 8 Mac 2014.

Ketika kejadian, terdapat seramai 239 orang di dalam pesawat tersebut termasuk 153 warga China, 38 rakyat Malaysia dan 12 anak kapal.

Radar tentera kemudian mendedahkan pesawat itu membuat putaran 180 darjah menyeberangi Semenanjung ke Selat Melaka, berpusing ke utara dan kali terakhir dikesan di sutu tempat di utara Sumatera.

Analisis seterusnya menggunakan teknologi satelit menunjukkan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi, namun setakat ini tiada penemuan serpihan atau bangkai pesawat direkodkan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI