fbpx
Anak-anak dan kaum wanita Palestin masih tinggal serta berpuasa dalam khemah di Khan Younis yang terletak di selatan Semenanjung Gaza pada Ramadan ini.

Berbuka puasa dengan roti jika ada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Ramadan di Gaza, Palestin terus dilalui dalam suasana penuh kesedihan dan ujian, namun keimanan penduduknya tetap teguh walaupun berdepan konflik berpanjangan.

Rakyat Palestin, Mohammed Fadil Hussein Elmassarey, 41, berkata, kawasan tempat tinggalnya kini dipenuhi runtuhan bangunan, debu serta bunyi dron yang sentiasa berlegar di udara.

“Saya bersama keluarga terpaksa berpindah ke Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza dan menjalani kehidupan di sini sejak kira-kira dua tahun sete­ngah yang lalu,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Dia yang merupakan penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) yang berjaya dalam sesi viva ijazah doktor falsafah (PhD) Keusahawanan UUM yang dilakukan secara dalam talian, bulan lalu.

Cerita Mohammed Fadil, walaupun dalam keadaan sukar, keluarganya masih cuba berkumpul ketika berbuka puasa bagi mengekalkan sedikit rasa kehidupan normal.

Namun katanya, pertemuan itu biasanya kecil dan dilakukan dengan berhati-hati atas faktor keselamatan.

“Sahur pula selalunya dalam keadaan gelap menggunakan makanan yang berbaki dari hari sebelum,” ujarnya sambil memberi­tahu mereka juga sukar untuk mendapatkan bekalan air bersih.

Jelasnya, banyak masjid di Gaza rosak atau musnah, menyebabkan solat tarawih terpaksa dilakukan di kawasan runtuhan atau khemah sementara.

Menurutnya, antara perkara yang dirindui pada Ramadan ialah suasana lampu hiasan di jalanan serta bunyi meriam Ra­madan yang pernah memeriahkan bulan suci itu.

“Namun, apa yang paling saya rindui ialah ketenangan yang dirasai bila mengetahui semua ahli keluarga masih ada untuk berbuka puasa bersama keesokan hari,” luahnya.

Katanya, kekurangan makanan menjadi perkara biasa apabila mereka kadangkala berbuka dengan air kosong atau beberapa keping roti, jika ada.

“Hidangan tradisional kini diganti dengan apa sahaja makanan dalam tin atau herba liar yang boleh dikumpulkan,” jelasnya.

Walaupun berdepan kelaparan dan ketakutan, beliau berkata, keimanan menjadi kekuatan utama untuk terus berpuasa dan beribadah sepanjang Ramadan.

“Iman adalah satu-satunya perkara yang tidak dapat ‘disentuh’ oleh peperangan yang mana kami mendapat kekuatan daripada ayat-ayat al-Quran tentang kesabaran,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN