KUALA KRAI – Seorang wanita yang merupakan doktor pelatih ditemukan meninggal dunia dalam keadaan tergantung pada pintu bilik air menggunakan sehelai kain selendang di asramanya di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 9.55 pagi selepas pihak hospital membuat laporan berhubung penemuan mangsa yang berusia 29 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai bersama anggota Balai Polis Kuala Krai bergegas ke lokasi untuk menjalankan siasatan.
“Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati, wanita itu menggantung diri menggunakan sehelai kain selendang pada pintu bilik air di dalam salah sebuah bilik asrama hospital tersebut.
“Tiada unsur jenayah dikesan selepas siasatan awal dijalankan di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Mazlan memberitahu, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik HSIP untuk proses bedah siasat.
Katanya, hasil bedah siasat mendapati, kematian berpunca daripada tekanan pada bahagian leher dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – KOSMO! ONLINE














