IMPIAN Johor Darul Ta’zim (JDT) bergelar ‘raja kelab Asia Tenggara’ pada musim ini mungkin tidak kesampaian susulan keputusan Mahkamah Timbang Tara (CAS) yang menolak rayuan tiga pemain warisan Harimau Selatan pada Khamis lalu.
Menurut laporan didedahkan oleh ASEAN Football, kejayaan JDT layak ke saingan separuh akhir Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) 2026 mungkin ditarik balik oleh penganjur, Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) jika didapati bersalah menurunkan pemain yang tidak diiktiraf.
Situasi ini kerana peraturan yang ditetapkan oleh AFF dalam saingan ACC musim ini adalah semua kelab yang bertanding hanya dibenarkan menurunkan maksimum tujuh pemain import bagi setiap perlawanan dalam kejohanan tersebut.
Namun, JDT menurunkan jumlah pemain import melebihi had itu pada peringkat Kumpulan B pada awal musim ini.
Pada aksi menentang Lion City Sailors (LCS), JDT dikatakan menurunkan lapan pemain import, manakala bertemu Bangkok United (BUFC), jumlah tersebut meningkat kepada 10 pemain import.
Semua tiga pemain warisan JDT yang tidak diiktiraf Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel telah diturunkan pada kedua-dua perlawanan terbabit yang menyaksikan JDT menang 4-0 ke atas BUFC dan 3-1 ke atas LCS.
Sekiranya perkara itu disahkan melanggar peraturan pertandingan oleh pihak penganjur, AFF berpotensi menjatuhkan hukuman kalah 0-3 secara teknikal terhadap JDT bagi kedua-dua perlawanan tersebut.
Jika senario itu berlaku, JDT yang mengumpul 11 mata di kedudukan kedua Kumpulan B akan ditolak enam mata manakala penambahan tiga mata akan diberikan kepada LCS dan BUFC.
Setakat ini, pihak AFF masih belum memberi sebarang kenyataan rasmi dengan keputusan dijangka keluar dalam masa terdekat kerana aksi separuh akhir ACC bakal berlangsung pada Mei depan.














