PETALING JAYA – Pendakwah bebas, Zamri Vinoth yang lantang memperjuangkan isu pencerobohan tanah mendakwa dia telah diserang sekumpulan individu dalam kejadian baru-baru ini.
Menerusi hantaran di Facebook, Zamri berkata, kumpulan itu melakukan serangan secara hendap, namun dia sempat bersembunyi dan menyelamatkan diri.
“Mereka bawa kayu, batu dan buat percubaan untuk pukul. Alhamdulillah mereka baling batu pecah cermin kereta.
“Pondan…berani hanya bila hendap beramai. Sebab itulah saya kata mereka ini tak layak diberi muka. Mereka dah mula mencabar kita,” katanya dalam hantaran terbabit.
Dalam pada itu, Zamri turut berkongsi gambar memaparkan keadaan keretanya apabila cermin bahagian penumpang pecah akibat dilempar batu.
Difahamkan, Zamri menyertai Himpunan ‘On’ yang dijadualkan berlansung di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam Pulau Pinang, pukul 3 petang hari ini. – KOSMO! ONLINE














