KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) memfailkan saman terhadap 16 bekas Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atas dakwaan melanggar syarat bon berjumlah RM10 juta selepas meninggalkan parti itu, enam tahun lepas.
Saman itu difailkan Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr. Fuziah Salleh bagi pihak parti selaku plaintif dalam dua tindakan berasingan melalui firma guaman Tetuan Messrs Nav & Co di Mahkamah Tinggi di sini, masing-masing pada 19 dan 27 Februari lepas.
Kesemua 16 itu ialah Baru Bian, Datuk Kamarudin Jaffar, Datuk Mansor Othman, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Datuk Saifuddin Abdullah dan Datuk R Santhara Kumar sebagai defendan.
Selain itu turut dinamakan defendan ialah Abdul Yunus Jamhari, Datuk Azman Nasrudin, Dr Afif Bahardin, Chong Fat Full, Daroyah Alwi, Haniza Mohamed Talha, Muhammad Hilman Idham, Muhammad Jailani Khamis, Robert Ling Kui Ee dan Zulkifli Ibrahim.
Berdasarkan saman itu, PKR mendakwa, di bawah klausa operatif bon, setiap defendan bersetuju untuk membayar kepada parti RM10 juta dalam tempoh tujuh hari selepas berlakunya mana-mana peristiwa termasuk defendan meletakkan jawatan daripada parti atau menyertai parti politik lain atau menjadi wakil rakyat bebas.
Plaintif mendakwa telah melantik setiap defendan sebagai calonnya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan berjaya meraih beberapa kerusi Parlimen dan DUN, seterusnya telah membentuk kerajaan Persekutuan dan beberapa buah kerajaan Negeri.
Bagaimanapun, pada 24 Februari 2020, setiap defendan telah berhenti dari terus menjadi ahli parti selepas dipilih di bawah panji-panji parti.
Mereka juga telah menzahirkan sokongan kepada gabungan politik selain parti PKR,” dakwa PKR dalam pernyataan tuntutan itu.
PKR berkata pada 11 Mac 2020, parti telah memutuskan untuk menamatkan keahlian setiap defendan berkuat kuasa serta-merta dan satu sijil bertarikh 16 Mac 2020 dikeluarkan bagi mengesahkan bahawa keahlian setiap defendan dalam parti telah ditamatkan.
“Disebabkan perkara-perkara yang diplidkan di atas, setiap defendan telah melanggar bon, sekaligus mencetuskan kewajipan untuk membayar sejumlah RM10 juta yang perlu dibayar dalam tempoh tujuh hari.
“Melalui surat bertarikh 28 Julai 2020, PKR telah mengeluarkan tuntutan rasmi kepada setiap defendan bagi pembayaran jumlah tersebut, namun defendan-defendan telah gagal membayar jumlah bon berkenaan,” dakwanya.
Sehubungan itu, PKR menuntut setiap defendan membayar bon berjumlah RM10 juta selain menuntut kos, faedah dan relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – KOSMO! ONLINE














