PUTRAJAYA- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas kenyataan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi alat politik kerajaan dengan menegaskan bahawa tuduhan sedemikian tidak bersifat adil.
Perdana Menteri berkata, pihak yang membuat tuduhan sepatutnya merujuk atau meneliti laporan berkaitan sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan atau membuat kesimpulan.
“Itu adalah pandangan Bersih lah. Tapi tidak adil untuk Bersih tidak membuat kenyataan yang ‘bersih’. Nak buat tuduhan, tengoklah laporan dulu baru bagi jawapan (kenyataan).
“Kalau tidak, kalau nak pakai sergah begitu saja, saya tidak pertahankan, tapi saya kata dia dah buat jawatankuasa, saya percaya kepada Peguam Negara. Dia bagi laporan, ini (saya) belum terima laporan.
“Ini belum terima laporan, kita tuduh kena ikut selera politik, itu yang dikatakan selera politik. Jangan, bulan Ramadan, apa lagi kita buat menyerang orang. Dapat maklumat dulu kemudian buat keputusan,” katanya ketika ditemui pemberita selapas Program Ihya’ Ramadan bersama Pengurusan Tertinggi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Bersih yang mengecam hala tuju SPRM yang didakwa semakin terpesong daripada mandat asalnya untuk membanteras rasuah.
Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam satu kenyataan mendakwa agensi penguatkuasaan itu kini dilihat menjadi alat intimidasi politik.
Dakwaan Bersih itu merujuk kepada tindakan SPRM yang sedang mengesan bekas pegawai kepada seorang bekas menteri, dikenali James Chai serta desakan bekas menteri berkenaan ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki. – KOSMO! ONLINE














