JOHOR BAHRU – Seorang wanita berketurunan Pakistan dan lima lelaki dihadapkan ke mahkamah berasingan hari ini atas tuduhan melakukan pakatan rompakan berkumpulan di tempat letak kereta di Pasir Gudang bulan lalu.
Tertuduh, Shameem Begum Abdul Said, 53, mengaku bersalah, manakala Muhammat Rashid Ismail, 30, pula membuat pengakuan tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Mereka didakwa secara bersama merancang untuk melakukan rompakan berkumpulan di tempat letak kereta di belakang sebuah bank di Pusat Perdagangan Pasir Gudang pada pukul 12 tengah hari, 24 Februari lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.
Mahkamah membenarkan jaminan RM12,000 bagi setiap tertuduh selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan. Tarikh 8 April ini ditetapkan untuk sebutan semula kes dan hukuman terhadap Shameem Begum.
Di hadapan Hakim Mohd Zamir Suhaimee, tiga tertuduh iaitu Emmirul Azim Samat, 30, Muhammad Syukri Mohamed Yusoff, 32, dan Abdul Rahman Abd Rahim, 32, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dihadapi mereka.
Emmirul Azim berdepan dua pertuduhan iaitu menyimpan harta curi wang tunai RM50,000 milik lelaki Pakistan yang juga suami Shameem Begum dan membuat persiapan melakukan rompakan berkumpulan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan dan Seksyen 399 kanun sama yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.
Muhammad Syukri dan Abdul Rahman pula didakwa secara bersama melakukan rompakan berkumpulan ke atas ahli perniagaan sama dengan membawa lari wang RM500,000. Dia didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM18,000 ke atas Emmirul Azim, manakala Muhammad Syukri dan Abdul Rahman pula diikat jamin RM8,000 setiap seorang dengan seorang penjamin tempatan.
Seorang lagi tertuduh, Mohamad Taufiq Mohammad Jamil, 31, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi atas tuduhan menyimpan senjata tiruan sepucuk pistol berwarna silver jenis Pietro Beretta.
Kesalahan itu dilakukan di bilik pejabat di Taman Damansara Aliff, Tampoi di sini pada pukul 11.05 pagi, 27 Februari lalu. Azureen Sahira membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dan menetapkan 31 Mac untuk sebutan semula kes.
Semalam, Kosmo! melaprokan, polis memberkas lapan individu termasuk seorang wanita dipercayai terlibat dalam kes rompakan berkumpulan dan bersenjata ke atas ahli perniagaan Pakistan yang juga suami suspek sehingga kerugian RM500,000.-KOSMO! ONLINE














