KUALA TERENGGANU – Simpanan Tabung Haji seorang lelaki warga emas berusia 87 tahun berjumlah RM277,000 lebur akibat diperdaya skim pelaburan palsu.
Pesara yang menyedari tertipu tersebut telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 4.55 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, lelaki warga emas terbabit telah melihat iklan skim pelaburan tersebut menerusi aplikasi WhatsApp pada pukul 11 pagi, 18 September tahun lalu.
“Mangsa yang tertarik telah menghubungi seorang wanita bagi mengetahui lebih lanjut skim pelaburan berkenaan.
“Dia kemudiannya membuat pelaburan menerusi pembayaran ke dua akaun bank diberikan suspek,” katanya di sini hari ini.
Azli berkata, pemindahan wang ke dalam akaun bank berkenaan dilakukan secara berperingkat antara 13 November hingga 24 Disember tahun lalu.
Beliau berkata, pesara terbabit akhirnya menyedari dirinya tertipu apabila tidak mendapat apa-apa keuntungan dijanjikan.
“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














