JAKARTA – Sepasang suami isteri di Sragen, wilayah Jawa Tengah menjadi perhatian pengguna media sosial kerana merupakan bekas guru dan pelajar sekolah, lapor portal berita Wolipop semalam.
Bukan sekadar itu, lelaki bernama Erlangga, 26, dan isterinya, Endang, 49, menjadi perhatian kerana perbezaan umur mereka yang ketara.
Menurut Erlangga, ketika bersekolah di sebuah sekolah vokasional di Sragen, dia menganggap Endang tidak lebih daripada seorang guru.
Bagaimanapun, hubungan mereka berubah selepas Erlangga tamat persekolahan dan ketika pandemik Covid-19 melanda.
“Saya membeli pelitup muka daripada isteri yang ketika itu menjual objek tersebut.
“Daripada hubungan antara penjual-pembeli, kami semakin rapat,” katanya sambil menambah, Endang ketika itu bergelar ibu tunggal.
Selepas berasa yakin antara satu sama lain, pasangan itu memutuskan untuk membawa hubungan mereka ke peringkat seterusnya pada Mei 2022.
Bagi Erlangga, perbezaan umur bukanlah penghalang selagi ada persefahaman bersama.
“Kami dapat berkahwin kerana kami serasi, walaupun terdapat perbezaan umur yang besar, tetapi kami saling memahami,” katanya.
Video mengenai pasangan itu tular di media sosial dan menerima pelbagai komen daripada netizen.
“Gurunya kelihatan awet muda, tetapi anak muridnya nampak sangat matang,” kata seorang pengguna media sosial.
“Bapaku adalah murid ibuku,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI














