KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 18 Mei bagi hujahan lisan kes rasuah balu kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad.
Hakim Rosli Ahmad menetapkan tarikh itu selepas peguam selepas peguam Datuk Seri K. Kumaraendran yang mewakili Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, memaklumkan bahawa pihak pembelaan menutup kesnya selepas Zizie Izette selesai memberi keterangan.
Hakim Rosli itu turut menetapkan pada atau sebelum 24 April ini untuk pihak pendakwaan memfailkan hujahan bertulis manakala 8 Mei untuk hujahan balas pihak pembelaan.
Bagi pertuduhan pertama, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Berhad, dengan memperoleh suapan wang tunai RM2.2 juta daripada Madhi.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi suaminya mendapat kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk FELCRA Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad, yang kesalahan itu dilakukan hasil daripada persubahatan tertuduh.
Bagi pertuduhan kedua, wanita itu didakwa bersubahat dengan Bung Moktar dengan memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama, Madhi, melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas nama tertuduh bagi tujuan serupa.
Zizie Izette juga dituduh bersubahat dengan Bung Moktar dengan memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM337,500 daripada Norhaili melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama tertuduh bagi tujuan yang sama.
Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati di sini pada 12 Jun dan 19 Jun 2015.
Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pada 16 Januari lepas, Mahkamah Sesyen di sini melepaskan dan membebaskan Allahyarham Bung Moktar daripada tiga pertuduhan rasuah itu selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan kes terhadap Bung Moktar yang meninggal dunia pada 5 Disember 2025. – KOSMO! ONLINE














