KUALA TERENGGANU – Seorang graduan Diploma Kejuruteraan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) tidak menyangka keputusannya untuk menjual pencuci mulut Amerika Latin, quesillo membuahkan hasil lumayan apabila 20 bekas pemanis itu terjual dalam tempoh sejam.
Ujar Sharifah Anis Safiah Syed Khalea Kosam, 22, dia mampu meraih jualan kasar hampir RM1,000 sehari meskipun pada awalnya hanya mencuba berniaga bagi mengisi masa lapang serta mencari pengalaman.
“Saya pilih quesillo seakan-akan puding karamel versi mewah yang sedang ‘trending’ ketika ini. Kebetulan saya baru mencuba resipinya dan menjadi.
“Cuba jual empat bekas pada hari pertama Ramadan di depan rumah, tak sangka laku dan habis dalam tempoh kurang sejam,” katanya ketika ditemui di Kampung Kubang Buyong, di sini semalam.
Katanya, permintaan quesillo buatannya terus meningkat sehingga terpaksa membuat 20 bekas setiap hari mulai 2 Ramadan.
“Setiap bekas quesillo boleh dipotong kepada tujuh bahagian. Setiap potongan saya jual RM7. Secara keseluruhannya saya menjual 140 potongan setiap hari.
“Kebiasaannya jualan saya akan habis dalam tempoh kurang sejam selepas gerai dibuka. Ramai juga pulang hampa tidak sempat membelinya,” katanya.
Sharifah Anis Safiah juga agak terkejut ramai pelanggan sanggup beratur awal biarpun gerainya cuma dibuka pada pukul 4 petang setiap hari. -KOSMO! ONLINE














