JOHOR BAHRU – Peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset, UDA Holdings Berhad (UDA) meraikan Seramai 100 anak yatim dan asnaf menerusi Program Sinar Ramadan UDA 2026 yang berlangsung di Angsana Johor Bahru Mall, di sini hari ini.
Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan UDA, Radziah Mohamed Fadzil berkata, penghuni Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh Johor diperuntukkan RM350 setiap seorang bagi membeli-belah pakaian serta kelengkapan Aidilfitri bernilai sempena sambutan Syawal yang bakal tiba.
“Hampir RM30,000 zakat wakalah disalurkan bagi pembelian pakaian dan kelengkapan baharu kepada 85 penghuni Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh yang berusia antara 12 bulan hingga 28 tahun.
“Sumbangan ini diharap dapat memberikan keceriaan kepada anak-anak agar turut sama menikmati kemeriahan Syawal selain menjadi inspirasi kepada UDA untuk terus berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan,” katanya.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Operasi Angsana Johor Bahru Mall, Imran Salleh dan Pemangku Ketua Pegawai Operasi UDA Land (South) Sdn. Bhd., Norazim Shukor, selain barisan pengurusan serta kakitangan UDA.
Beliau berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu dilaksanakan menerusi anak syarikat UDA iaitu UDA Angsana Sdn. Bhd. bersama UDA Land (South) dan merupakan aktiviti tahunan yang dijalankan sejak 2021.
Menurutnya, selain membeli-belah, anak yatim dan asnaf tersebut turut diraikan dengan jamuan berbuka puasa serta menerima kuih raya sebagai tanda ingatan.
Tambahnya, program itu juga selari dengan aspirasi ‘Memenuhi Impian’ UDA tahun ini selain memperkukuh agenda CSR menerusi platform UDA Prihatin.
“Sumbangan zakat wakalah itu dilaksanakan menerusi salah satu tunggak utama UDA Prihatin iaitu Memperkasa Kehidupan yang memberi tumpuan kepada sokongan komuniti memerlukan di sekitar wilayah pembangunan perniagaan UDA.
“Selain itu, tiga lagi tunggak program UDA Prihatin ialah Pendidikan, Usahawan serta Projek Penambahbaikan yang memberi fokus kepada pemerkasaan masyarakat secara menyeluruh,” katanya.
Penerima sumbangan, Puteri Nur Damia Adriana Abdullah, 15, berkata, dia berasa sangat teruja dan gembira kerana UDA sentiasa menyantuni penghuni Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh Johor saban tahun menjelang perayaan Aidilfitri.
“Tahun ini, tema kami adalah warna biru, jadi saya nak beli baju kurung dan tudung berwarna biru gelap. Saya suka beli belah di sini sebab banyak pilihan, pakaian di Angsana memang cantik,” kata pelajar bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki.
Bagi Muhammad Ibrahimusa, 17, dia mewakili penghuni yang lain menzahirkan rasa bersyukur apabila berpeluang berbelanja membeli kelengkapan raya serba baru bersama UDA Holdings untuk tahun kelapan.
“Setiap kali tiba bulan Ramadan, inilah masa yang saya bersama adik saya nantikan untuk membeli baju Melayu, songkok dan sampin untuk hari raya Aidilfitri nanti” katanya. – KOSMO! ONLINE














