LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengecam kritikan yang dilontarkan oleh rakan sejawatnya, Fabian Hurzeler ketika meraih kemenangan 1-0 ke atas Brighton, awal pagi semalam.
Hurzeler mendakwa The Gunners bermain dengan taktik kotor apabila menuduh para pemain Arteta sering membuang masa dan berpura-pura mengalami kecederaan.
Arteta sebaliknya menegaskan anak-anak buahnya berhak untuk mendapat pujian kerana berjaya mencipta satu lagi kemenangan penting buat pasukan.
“Sungguh mengejutkan. Jika anda melihat semula perlawanan sebelum ini, anda juga akan melihat banyak komen seperti ini (Arteta yang merujuk kenyataan Hurzeler).
“Saya sukakan pemain saya dan itulah perkara utama. Saya gemar cara kami bersaing memandangkan pasukan lawan pastinya mahu mengambil sesuatu daripada kami dan perkara ini adalah normal,” katanya.
Jaringan tunggal perlawanan dihasilkan oleh Bukayo Saka untuk terus mengekalkan status sebagai pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 67 mata sekali gus menghampiri kejuaraan buat kali pertama sejak 2004.
Tanpa mengira jumlah mata atau penamat di hujung musim, Arteta tidak berminat mengambil tahu memandangkan Arsenal masih berada di landasan tepat untuk meraih gelaran quadruple musim ini. – AGENSI














